Sebanyak  64,894 ketua isi rumah berstatus miskin tegar

Sebanyak 64,894 ketua isi rumah berstatus miskin tegar

Terdapat sejumlah 64,894 ketua isi rumah yang berdaftar di bawah Sistem eKasih dengan berstatus miskin tegar, sehingga 12 Oktober lalu, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Azizah Mohd Dun berkata daripada jumlah itu, 28,978 ketua isi rumah adalah di kawasan bandar, manakala 35,916 lagi di kawasan luar bandar.

“Dalam memastikan kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan selaras dengan konsep inklusiviti, kerajaan amat prihatin terhadap golongan miskin dan sentiasa berusaha untuk membasmi kemiskinan.

“Terdapat pelbagai program dan bantuan yang telah, sedang dan akan dilaksanakan oleh kerajaan pusat dan negeri, khususnya bagi memastikan kadar kemiskinan terus dikurangkan,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Makin @ Marcus Mojigoh (BN-Putatan) berhubung bilangan mereka yang dikategorikan sebagai golongan miskin tegar dalam dan luar bandar serta jumlah ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) yang telah mendapat bantuan kementerian itu.

Azizah berkata antara langkah yang diperkenalkan kementeriannya termasuk program Inkubator Ibu Tunggal (I-KIT) dan Inkubator Keusahawanan Wanita (I-KeuNita) yang kini dikenali sebagai ‘Development of Women Entrepreneurs Initiative’ (DEWI) yang bermatlamat untuk memberi latihan kepada golongan sasar supaya dapat menjana pendapatan dan meningkatkan kualiti hidup.

Katanya, kementerian turut menyediakan bantuan kepada warga emas, OKU dan pesakit terlantar yang menyaksikan sehingga Ogos lalu, sejumlah 134,789 warga emas telah mendapat manfaat daripada Skim Bantuan Orang Tua dengan kadar RM300 sebulan, melibatkan peruntukan lebih RM360 juta.

Bagi bantuan yang diberikan kepada golongan OKU pula, Azizah berkata ia melibatkan skim Elaun Pekerja Cacat, Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja dan Bantuan Penjagaan OKU Terlantar/Pesakit Kronik Terlantar di mana sehingga Ogos lalu, sejumlah 78,221 OKU telah mendapat manfaat daripada Skim Elaun Pekerja Cacat dengan peruntukan RM240 juta.

“Melalui skim Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja sejumlah 56,413 orang penerima dengan peruntukan sejumlah RM97 juta. Bagi Bantuan Penjagaan OKU Terlantar/Pesakit Kronik Terlantar pula sejumlah 24,571 penjaga menerima manfaat daripada bantuan ini dengan peruntukan sejumlah RM68 juta,” katanya.

Azizah berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat turut membimbing penerima bantuan jabatan itu yang masih produktif melalui pelaksanaan 2Years Exit Programme dengan menggalakkan mereka berdikari melalui bidang kerjaya tanpa perlu bergantung kepada bantuan sara hidup.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS