Sebanyak 71 peratus keluar mengundi di 79 pusat pengundian

Sebanyak 71 peratus keluar mengundi di 79 pusat pengundian

Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN11) selesai pukul 5 petang ini.

Terdapat sejumlah 24,604 pengundi awal terdiri daripada anggota keselamatan serta pasangan mereka yang mengundi di 79 pusat pengundian.

Sebanyak 33 pusat pengundian ditutup pada 2 petang dan selebihnya 46 pusat ditutup 5 petang, berdasarkan kepada bilangan pengundi di pusat-pusat berkenaan.

Setakat 4 petang, 71 peratus pengundi telah melaksanakan kewajipan masing-masing.

Kertas undi bagi pengundi awal hanya akan dikira mulai pukul 4 petang pada hari pengundian biasa (7 Mei) yang dilaksanakan secara berkelompok di tempat pengiraan undi yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Proses pengundian awal ini berjalan lancar dan terkawal dengan 62 peratus pengundi sudah menunaikan tanggungjawab mereka setakat 2 petang itadi.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata dalam tempoh dua jam pertama pusat mengundi dibuka pada pukul 8 pagi, sebanyak 21 peratus telah menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Proses pengundian awal di 79 pusat mengundi di seluruh negeri itu melibatkan 24,604 pemilih terdiri daripada anggota polis dan tentera serta pasangan masing-masing.

Sebanyak 33 pusat mengundi ditutup pada pukul 2 petang kerana faktor jumlah pengundi kecil dan selebihnya pada pukul 5 petang, katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian di Dewan Bukavu, Kem Penrissen, Batu 8, di sini.

Selain Kem Penrissen, Kem Muara Tuang dan ibu pejabat polis daerah (IPD) Kota Samarahan turut menjadi pusat pengundian awal untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Stakan.

Mohd Hashim berkata cuaca yang baik pada sebelah pagi turut memudahkan urusan pengundi awal terdiri daripada 15,113 anggota tentera dan 9,491 anggota polis bersama pasangan menunaikan tanggungjawab mereka.

Sementara itu, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan General Datuk Mohd Zaki Mokhtar berkata beliau telah menggalakkan pegawai dan anggotanya turun awal untuk mengundi.

“Ini membolehkan kita mempunyai ruang dan masa untuk berusaha membawa mereka yang tidak sempat datang ke pusat mengundi,” katanya yang turut mengundi di Kem Muara Tuang di sini.

Menurut senarai SPR, Dun Stakan mempunyai jumlah pengundi awal paling banyak iaitu 7,055 orang, diikuti Bukit Sentosa (3,163), Nangka (3,043), Batu Kawah (1,241) dan Sri Aman (1,075).

Pengundian awal ini tidak melibatkan 418 pengundi awal untuk kerusi Dun Bukit Kota dan Bukit Sari yang telah dimenangi tanpa bertanding oleh Barisan Nasional (BN) pada hari penamaan calon, 25 April lepas.

TAGS