‘Sebar berita palsu ibarat beri pisau kepada orang tidak siuman’

‘Sebar berita palsu ibarat beri pisau kepada orang tidak siuman’

Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH Nasional, Ustaz Zolkharnain Abidin mengingatkan individu yang berpengaruh agar tidak menyebarkan berita tidak benar yang dibimbangi akan mempengaruhi golongan pengikut.

Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) itu berkata, masyarakat perlu dididik supaya memahami bagi mengelak wujudnya sikap obses terhadap mana-mana individu.

“Masyarakat perlu dididik supaya memahami, selama mana seseorang bernama insan, sehebat manapun dia, tidak sepanjang masa dia dalam keadaan benar. Dia tetap terdedah kepada kesilapan.

“Kefahaman ini berupaya menyelamatkan orang ramai daripada taksub secara melulu terhadap mana-mana individu dan mempertahankannya walaupun nyata kesilapannya.

“Pada masa yang sama, individu berkenaan juga wajar melatih dirinya agar berhati-hati dalam menyebarkan sesuatu berita supaya orang ramai yang taksub kepadanya tidak terpengaruh dengan berita palsunya itu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian di Facebook (FB) hari ini sambil melampirkan lima tangkap layar terdiri dari hantaran FB Firdaus Wong Wai Hung serta sejumlah teguran terhadap pendakwah berketurunan Cina itu.

Firdaus mendakwa seorang lagi maut akibat pemandu mabuk selain mempersoalkan sampai bila hal tersebut berulang kerana jualan murah arak berleluasa dan semakin ramai mabuk pada musim perayaan.

“Menteri Pengangkutan kata ini bukan dalam bidang kuasanya. Apakah ini juga memerlukan Menteri Agama untuk selesaikan?” sinis¬†Firdaus.

Bagaimanapun, orang ramai memberitahu kes yang berlaku di persimpangan Maju Junction di ibu negara semalam yang menyaksikan penunggang Foodpanda maut itu akibat pemandu warganegara Pakistan yang memandu secara melulu.

Mengulas lanjut, Ustaz Zolkharnain menyifatkan semua orang tidak terkecuali daripada memiliki nafsu dan kepentingan diri yang mahu dicapai.

“Kekaguman umum kepada penampilannya menjadikan apa saja yang terbit dari dirinya dianggap betul semuanya.

“Namun begitu, dia juga manusia yang punya nafsu dan kepentingan diri yang ingin dinikmati,” ujarnya.

Beliau juga berpendapat mana-mana individu malah pemimpin kerajaan berhak dibenci tetapi menyebarkan berita palsu bukanlah hak.

“Bagi saya, anda berhak membenci sesiapa yang anda mahu, bahkan anda berhak untuk membenci kerajaan dan pemimpinnya semahu anda. Saya menganggap hal itu hak anda.

“Namun suka saya sebut, menyebar berita palsu bukan hak. Tindakan itu ibarat anda memberi pisau kepada orang tak siuman (pentaksub anda) untuk memotong dan mencantas sesuka hati.

“Setujukah anda mereka menjadi penyambung lidah kepalsuan yang bermula daripada diri anda? Cukuplah…!” tegasnya lagi.