Sebar berita palsu Koronavirus: PDRM, MCMC beri amaran tindakan tegas

Sebar berita palsu Koronavirus: PDRM, MCMC beri amaran tindakan tegas

Tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan kandungan, khabar angin atau berita palsu mengenai penularan 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV).

Amaran itu dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang menyatakan perbuatan itu boleh menimbulkan kekecohan dan kemudaratan kepada kestabilan negara.

“PDRM dan MCMC mengambil serius akan perbuatan ini dan tidak akan bertoleransi terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan berita palsu sehingga menyebabkan ketakutan, panik atau kegusaran kepada orang awam,” menurut PDRM dan MCMC dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Dalam pada itu, PDRM dan MCMC telah mengenalpasti empat individu bagi membantu siasatan penyebaran berita palsu berkaitan dengan Koronavirus.

Pemantauan dua pihak itu juga mendapati media sosial dan pesanan dalam talian telah menjadi satu platform utama bagi penularan berita palsu mengenai Koronavirus.

Menurut kenyataan itu lagi penyebar berita palsu boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda atau kedua-duanya.

“Pendakwaan turut boleh dibuat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya,” menurut PDRM dan MCMC.

Orang awam juga digesa supaya menyemak terlebih dahulu maklumat atau berita mengenai Koronavirus sebelum mempercayai atau menyebarkannya, terutamanya maklumat yang dikeluarkan oleh pihak selain daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Sila rujuk kepada sumber rasmi KKM (www.moh.gov.my/) atau badan kesihatan antarabangsa (https://www.who.int/) bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih mengenai Koronavirus,” menurut kenyataan itu.– BERNAMA