Malaysia Dateline

Sebar mesej Islam cinta damai bukan sengketa

MENGINSAFI TRAGEDI BERDARAH DI CHRISTCHURCH

Pada 15 Mac 2019 lalu, dunia dikejutkan dengan tindakan tidak berperikemanusiaan yang menyeru kita untuk tidak memandang enteng akan gerakan ektremis keganasan.

Jenayah kejam ini dilakukan oleh Brenton Tarrant, 28, warga Australia yang merupakan seorang supremasi kulit putih yang menetap di New Zealand, Christchurch.

Jenayah kejam yang tidak berperikemanusiaan ini berlaku semasa solat Jumaat di Masjid Al Noor, yang terletak di pinggir bandar Riccarton, pada pukul 1:40 petang, dan berterusan di Pusat Islam Linwood sehingga kira-kira 1:55 petang.

Serangan yang dilakukan itu telah mengorbankan 50 nyawa dan mencederakan sekurang-kurangnya 50 yang lain. Tragedi Jumaat itu merupakan pembunuhan besar-besaran (mass killing) yang terburuk dalam sejarah New Zealand sehinggakan Perdana Menteri, Jacinda Ardern menyifatkanya jenayah itu sebagai “Jenayah Keganasan”.

Tragedi hitam ini bukan sahaja ditangisi oleh masyarakat global tidak mengira latarbelakang agama serta kepercayaan, tetapi telah juga memberikan kesan mendalam dalam jiwa umat Islam di seluruh dunia kerana tanggapan yang salah telah diberi kepada saudara kita di negara berkenaan.

Di Australia contohnya, ribuan penduduk Melbourne berhimpun di hadapan Pepustakaan Victoria State bagi menzahirkan tanda solidariti bersama komuniti Islam yang menjadi mangsa serangan maut di dua masjid itu.

Menurut penganjur perhimpunan, Jasmine Ali, sentimen Islamophobia dan perkauman merupakan penyumbang kepada tercetusnya jenayah kejam tersebut.

Malaysia, seperti juga negara-negara Islam yang lain amat terkesan dengan serangan pengganas itu lantaran telah mengorbankan seorang rakyat kita iaitu Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17.

Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad juga telah melahirkan rasa dukacita serta kesal beliau di atas insiden yang telah berlaku, dan dalam reaksinya telah berkata “Keganasan tidak mempunyai sempadan. Kita tidak tahu bila mereka (pengganas) akan menyerang”.

AMANAH juga, melalui kenyataan media yang dikeluarkan pada 15 Mac lalu, telah turut sama menzahirkan kekesalan dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan luar batas kemanusiaan yang di lakukan oleh pengganas dan supremis Brenton Tarrant itu.

AMANAH juga melihat insiden tersebut sebagai satu kebiadaban serta penghinaan terhadap Islam kerana insiden pembunuhan ini dilakukan dalam masjid, yang merupakan sebuah tempat suci oleh pengganut Islam.

Tanggal 22 Mac lalu genaplah seminggu insiden berdarah di dua masjid Christchurch. Sebagai tanda solidariti, kerajaan New Zealand telah menyiarkan laungan azan dan dituruti dengan upacara bertafakur selama dua minit dalam upacara untuk menandakan seminggu sejak serangan berdarah Christchurch.

Dalam majlis tersebut, Jacinda menyertai beribu-ribu penganut Islam di Masjid Al-Noor, salah satu daripada dua tempat ibadat yang disasarkan pengganas berkenaan.

Imam Gamal Fouda, yang mengetuai upacara tersebut telah berkata: “Kami patah hati, tetapi kami tidak patah.” Mengambil kata Imam Gamal Fouda, sebagai umat islam serta Pemuda AMANAH Alor Gajah Melaka, menyeru agar sama-samalah kita berdoa memohon kepada Allah agar merahmati pemergian saudara seislam kita.

Jadikan malapetaka tersebut sebagai satu hikmah yang perlu kita renungkan dan dalami dalam menjadikan kita lebih bersatu hati menyebarkan Islam sebagai agama yang cintakan perdamaian bukan persengketaan selaras dengan konsep Rahmatan lil alamin yang diperjuangkan oleh AMANAH.

Kepada masyarakat Malaysia, ayuh sama-sama kita bersolidariti menidakkan kekejaman golongan pengganas ini. Ingatlah, kepelbagaian agama dan bangsa itu bukan suatu perkara membebankan masyarakat tetapi suatu konteks yang perlu diraikan dengan keadaan yang penuh harmoni, ketenangan dan nilai kasih sayang antara satu sama lain.

*Penulis merupakan Pengerusi Biro Kebajikan Pemuda AMANAH Alor Gajah, Melaka.