Malaysia Dateline

Sebarang pengambilaihan lebuh raya akan diputuskan Jemaah Menteri

Kementerian Kerja Raya memaklumkan bahawa sebarang cadangan pengambilalihan mana-mana lebuh raya akan hanya diputuskan oleh Jemaah Menteri.

Dalam satu kenyataan hari ini menterinya Baru Bian berkata, keputusan itu akan dibuat selepas mengambil kira kajian dan syor daripada Kementerian Kerja Raya berhubung hala tuju tol di negara ini secara menyeluruh.

“Laporan kajian itu hanya akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada bulan Julai 2019.

“Sepertimana yang dimaklumkan sebelum ini, Kementerian Kerja Raya telah melantik perunding audit bebas bertauliah pada bulan Januari 2019 bagi meneliti dan mengkaji secara holistik hala tuju industri tol di negara ini,” kata kenyataan itu hari ini.

Jelas kenyataan itu, antara prinsip atau kriteria utama kajian berkenaan ialah mencadangkan opsyen-opsyen yang munasabah dan boleh diterima pakai semua pihak.

Seterusnya tambah beliau, ia adalah untuk meringankan beban kewangan kerajaan dan memastikan piawaian operasi dan selenggara lebuh raya sedia ada tidak terjejas.