Sebarang penganjuran program perlu dikawal, peka sensitiviti masyarakat

Sebarang penganjuran program perlu dikawal, peka sensitiviti masyarakat

Walaupun atas nama keterbukaan dan kebebasan dalam era Malaysia Baharu, sebarang bentuk program yang dianjurkan perlu dikawal dengan mengambil kira sensitiviti masyarakat secara umum.

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) mengeluarkan kenyataan tersebut susulan daripada kontroversi penganjuran Malaysia Tattoo Expo 2019 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Justeru, YADIM berpendapat, pihak kementerian perlu bertegas dengan penganjuran program yang menggunakan nama kementerian sama ada dengan atau tanpa kebenaran.

“Di saat negara menguar-uarkan ia ditadbir berasaskan gagasan Rahmatan Lil Alamin dan Maqasid Syariah, penganjuran program seperti tersebut dilihat seperti sengaja cuba untuk menjejaskan imej kerajaan.

“Terutamanya dalam program memaparkan kelakuan tidak senonoh yang boleh dilihat oleh segenap lapisan masyarakat.

“Dalam Islam tidak ada kebebasan mutlak, sebaliknya mempunyai kebebasan yang dipandu syariat. Negara ini juga majoriti penduduknya beragama Islam.

“YADIM turut menyokong kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf bahawa penganjuran sesuatu program yang dirasakan sensitif, perlu diadakan secara tertutup dan menurut undang undang,” kata YADIM dalam kenyataannya.

Menurut YADIM lagi, walaupun mungkin ada yang beranggapan penganjuran program seperti itu boleh dijadikan sebagai tarikan pelancongan, namun YADIM mempunyai jawapan yang tersendiri.

“YADIM berpandangan nilai moral, akhlak dan kesopanan adalah sesuatu yang tidak wajar digadaikan untuk laba yang sedikit.

“Bahkan tindakan penganjuran seperti ini adalah satu tindakan yang boleh mensabotaj imej kerajaan pada hari ini.

“Ciri utama yang boleh ditonjolkan untuk menarik pelancong datang ke Malaysia adalah dengan memperkenalkan keunikan budaya dan lokasi-lokasi menarik di negara kita,” kata YADIM yang menyambut baik tindakan pantas Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) yang akan mengambil tindakan terhadap penganjur ekspo.

Memetik laporan Harian Metro, 1 Disember lalu, tular gambar lelaki dan wanita beratatu separuh bogel yang menyertai ekspo bertaraf antarabangsa itu.

Ekspo berlangsung bermula 29 November itu didakwa mendapat sokongan Motac seperti tertera di layar belakang pentas.

Bagaimanapun, Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi dilaporkan berkata, pihaknya tidak pernah meluluskan sebarang peragaan separuh bogel dalam ekspo itu dan mustahil bagi kementeriannya untuk meluluskan sebarang permohonan penganjuran yang mempunyai elemen lucah.