Sebat pasangan lesbian: Fathul Bahri bidas kritikan Nurul Izzah, Anwar

Sebat pasangan lesbian: Fathul Bahri bidas kritikan Nurul Izzah, Anwar

Ahli Majlis Tertinggi Umno membidas kenyataan dibuat pemimpin PKR yang mempersoalkan kesesuai hukuman sebat ke atas pasangan Lesbian oleh Mahkamah Syariah Terengganu baru-baru ini.

Menurut Dr Fathul Bahri Mat Jahya, Kerajaan Terengganu berhak 100 peratus untuk melaksanakan hukuman apa pun ke atas pesalah Lesbian dengan syarat pihak kerajaan mengambil kira soal kesesuaian hukuman serta menepati objektif perlaksanaannya iaitu untuk memberi pengajaran kepada pelaku dan orang ramai.

“Manakala bagi pengkritik, kalian ada ruang untuk mengkritik dan memberi pandangan kerana hukuman tersebut bukan hukuman Had sebaliknya ia adalah hukuman Takzir, cuma nasihat saya, ikhlaskan diri dalam menegur.

“Teguran itu juga semestinya membina menyokong bahawa maksiat seperti Lesbian ini wajar dikenakan hukuman.

“Kalian tidak boleh menafikan perlaksanaan hukuman sebaliknya kalian boleh mencadangkan hukuman yang dirasakan terbaik. kalian juga dilarang mempertahankan maksiat tersebut.

“Demikian juga bagi orang yang kritik si pengkritik. Perlu berhati-hati supaya kita juga tidak melampau sehingga menjadikan hukuman Takzir seperti hukuman Had.

” Dan juga kita tidak terlalu longgar sehingga memberi ruang kepada golongan yang sentiasa mencari kelemahan Islam bermaharajalela,” ujarnya dalam kenyataan di laman facebooknya.

Nurul Izzah dalam twitternya semalam berkata,menghukum seperti menjatuhkan hukuman sebat di khalayak tanpa melalui proses dan kefahaman betul serta tanpa belas kasihan – ternyata memberi persepsi buruk terhadap Islam. It’s wrong. And we need to do better, (Ia adalah salah dan kita perlu lakukan lebih baik), katanya.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mengulas kenyataan dibuat oleh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilaporkan berkata, menghukum seperti menjatuhkan hukuman sebat di khalayak tanpa melalui proses dan kefahaman betul serta tanpa belas kasihan tidak diterima rakyat Malaysia.

Anwar berkata perkara itu perlu ditangani berhati-hati kerana akan timbul tuduhan bahawa mereka yang tidak bersetuju dengan hukuman sebat terhadap pesalah syariah sebagai anti-Islam.

Jelas Dr Fathul lagi, ada dua perkara pokok perlu difahami masyarakat dalam memahami hukuman Had dan Takzir terhadap pesalah Lesbian.

“Hukuman Had adalah Ketetapan Tuhan yang tidak boleh diubah sesuka hati manakala Takzir adalah bentuk hukum yang ditentukan oleh manusia yang tentunya lebih fleksibel dan perlaksanaannya boleh bergantung kepada keadaan semasa.

“Oleh kerana hukuman ke atas Lesbian berada dalam kategori Takzir, maka Kerajaan Negeri Terengganu berhak untuk melaksanakan apa jua bentuk hukuman ke atas pasangan Lesbian beserta kewajipan memastikan maqasid hukuman tercapai samada kebaikan kepada pelakunya dan pengajaran buat yang menonton.

“Bagaimana pula pengkritik perlaksanaan hukuman Takzir tersebut? Jawapan saya: Perlu dibezakan antara pengkritik yang sememangnya membenci Islam  dan sengaja mencari ruang untuk mengkritik segala sesuatu yang berkaitan dengan Islam atau pengkritik yang cuba memberikan pandangan yang beliau rasakan sesuai dengan keadaan semasa,” ujarnya.

“Pengkritik pertama tentunya dia pendosa besar di sisi Allah. Bahkan boleh membawa kepada kefasikan & kekufuran.

“Pengkritik kedua: beliau tidak boleh dipersalahkan semata-mata kerana kritikannya. Kerana bentuk hukuman Takzir berada dalam lingkungan hukum ijtihadik. Maka ruang untuk berbeza pandangan terbuka luas. cuma, dengan syarat, pengkritik tersebut tidak boleh menafikan Lesbian sebahagian dari maksiat. Jika ia menafikan maka sangat beratlah kesalahannya kerana dia telah menghalalkan perkara yg diharamkan agama,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan hukuman  Had yang telah ditentukan jenis, bentuk dan  kadarnya oleh Allah dan Rasul bertujuan untuk menghindarkan manusia daripada melakukan sesuatu maksiat.

Hukuman Takzir pula  bertujuan untuk mendidik manusia agar menjauhkan diri dari maksiat atau meninggalkan maksiat yang telah dilakukan. Dan jenis, bentuk serta kadarnya ditentukan oleh pemerintah bergantung kepada maslahah.

Hukuman sebatan terhadap pasangan lesbian di Mahkamah Tinggi Syariah di Terengganu membuktikan pihak berkuasa serius melaksanakan undang-undang membendung amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, dipetik berkata, pelaksanaan hukuman buat kali pertama di Terengganu itu juga diharap dapat menjadi titik tolak membendung amalan LGBT serta pergaulan bebas secara lebih tegas.

Beliau berkata, golongan LGBT yang menentang hukuman berkenaan perlu memahami bahawa perlakuan songsang mereka bertentangan dengan hukum agama dan budaya masyarakat Islam yang perlu ditangani.

 

9.3
OVERALL SCORE
: 8.0
2 user votes x 10.0