Malaysia Dateline

Sebat pesalah syariah di depan orang awam perlu dikaji semula

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa berkata, kehadiran orang awam sewaktu proses sebatan pesalah syariah seperti di Terengganu, hari ini, perlu dilihat semula.

“Ia (peruntukan) perlu dilihat, sama ada orang awam boleh hadir sekali. Sama ada pegawai (pihak berkuasa) 2, 3 orang boleh dikira sebagai orang awam. Bagi saya, itu proses teknikaliti dan boleh dibawa ke perdebatan,” katanya selepas melancarkan buku “Suatu Perjalanan Hidup” oleh Prof Datuk Denison Jayasooria di Universiti Kebangsaan Malaysia, semalam lapor Bernama.

Mujahid mengulas hukuman 6 sebatan ke atas 2 wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu, selepas didapati bersalah melakukan hubungan sejenis dalam sebuah kereta, April lalu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya mengikuti perkembangan itu dan berpendapat ia dijalankan mengikut proses undang-undang negeri.

“Saya difahamkan mereka mengakui melakukan kesalahan, iaitu termaktub dalam Akta Enakmen Musahaqah (musahaqah ialah kesalahan perempuan dengan perempuan). Mereka diberi tempoh 14 hari rayuan dan mereka tidak mengemukakan rayuan.

“Saya juga difahamkan kaedah mereka dikenakan sebatan itu juga mengikut kaedah Islam yang tidak menyakitkan. Jadi, selagi perkara itu dipatuhi dan ada peruntukan undang-undang, maka bagi saya itu satu proses undang-undang biasa yang dilalui sesiapa yang melakukan jenayah.”

Menurutnya, jika ada pihak ingin mengeluarkan atau menghapuskan peruntukan itu, ia perlu dibuat mengikut enakmen negeri masing-masing.

Jelasnya, sama ada lesbian, gay atau sebagainya, setiap individu akan diadili mengikut proses dan saluran sama, sebaik sahaja sesuatu tangkapan itu dilakukan.

“Kepada masyarakat, semua ini tentu dibuat untuk kebaikan. Orang Islam khususnya sudah tahu mana-mana perkara yang dilarang dan sepatutnya mengambil hal ini sebagai pengajaran.

“Hukuman dalam Islam bukan untuk menyakitkan, tetapi lebih kepada pengajaran kepada yang lain-lain supaya kembali kepada fitrah.” ujarnya.