Bekas penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat merupakan salah seorang pemain paling berpengaruh yang masih diingati ramai sehingga ke hari ini.
Penampilannya sebagai penjaga gol Harimau Malaya satu ketika dahulu sentiasa mendapat perhatian ramai.
Namun sehingga hari ini masih ramai yang belum tahu sebenarnya Khairul Fahmi bukanlah seorang penjaga gol ketika dia baru menceburi sukan bola sepak.
Ketika menjadi tetamu program Astro Arena, Bola Dulu Baru Kamu!, pemain professional yang mesra disapa Apek itu berkata, dia bermain di posisi penyerang pada usia 11 tahun.
Tetapi selepas menyedari dia tidak memiliki potensi sebagai penyerang, guru sekolahnya kemudian meletakkan dia di posisi penjaga gol.
“Dekat sekolah masa saya Darjah 5, saya main jadi penyerang. Tapi sebab saya tiada potensi jadi penyerang, cikgu cakap dekat saya, ‘Kau pergi sana (jadi penjaga gol), kau jaga bola.’
“Dari situ sampai sekaranglah (saya jadi penjaga gol),” katanya menurut Makanbola.
Atas sebab itu lah kata Apek, dia dilihat tidak canggung beraksi di posisi berkenaan.
Malah, semasa di bangku sekolah, dia juga diminta beraksi sebagai penjaga gol untuk sukan seperti bola baling dan hoki.
“Jadi, mungkin pada zaman saya itu, nampak (jadi penjaga gol). Jadi masa Darjah 5 itu, cikgu cakap, ‘Kau tak boleh main penyerang, kau kena jadi penjaga gol.
“Jadi penjaga gol itu sampai ke peringkat MSSM (Majlis Sukan Sekolah Malaysia). Maknanya, kita sudah biasa beraksi di situ.
“Aku dari sekolah rendah itu hoki main penjaga gol, bola baling pun main penjaga gol. Macam sukan yang melibatkan penjaga gol itu, aku main,” ujarnya.