Sebelum mengundi, ini 5 perkara penting yang anda perlu tahu tentang PRN esok

Oleh WAN SITI AMINAH

Seramai 9.7 juta rakyat Malaysia dijangka akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan pada 12 Ogos (esok) ini.

Pengundi yang terlibat adalah rakyat daripada negeri Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan juga Kelantan.

Bertujuan untuk menentukan wakil Dewan Undangan Negeri, berikut adalah perkara penting mengenai PRN yang pengundi perlu tahu sebelum memilih calon.

1. Perbezaan PRN dengan Pilihan Raya Umum (PRU)

Selain memilih wakil Dewan Undangan Negeri (DUN), PRN ini diadakan bagi menentukan kerajaan negeri yang bakal diketuai oleh Menteri Besar.

Parti yang berjaya memenangi secara majoriti dalam PRN berhak mencalonkan nama menteri besar sebelum jawatan tersebut dilantik oleh Sultan. 

Manakala, Pilihan Raya Umum (PRU) pula dibuat untuk memilih calon Ahli Parlimen dan juga parti yang akan mengetuai kerajaan persekutuan.

Kerajaan persekutuan pula bakal dipimpin oleh Perdana Menteri yang akan dipilih oleh Yang di-Pertuan Agong.

2. Mengapa hanya 6 negeri yang mengundi esok?

Bergantung kepada keadaan, PRN dan PRU kebiasaannya akan dijalankan secara serentak dalam jangka masa lima tahun sekali.

Walau bagaimanapun, enam negeri berkenaan telah membuat keputusan untuk tidak mempertandingkan kerusi DUN dalam PRU pada November 2022 lalu. 

Hal ini kerana, negeri tersebut perlu membuat persediaan bagi menghadapi musim tengkujuh yang dijangka berlaku pada bulan November sehingga Mac.

Manakala rakyat dari negeri Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor pula telah mengundi dalam PRN yang diadakan secara mengejut pada tahun 2020 dan 2022 lalu.

Hanya tiga negeri yang terlibat dalam menjalankan PRN serentak dengan PRU pada November tahun lalu iaitu, Pahang, Perlis dan Perak.

3. Parti yang bakal bertanding

Parti utama yang bakal bertanding pada PRN kali ini ialah Pakatan Harapan dan Barisan Nasional daripada Kerajaan Perpaduan.

Calon daripada blok kerajaan ini bakal menentang parti pembangkang iaitu Perikatan Nasional (PN).

Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang kini ditadbir oleh Pakatan Harapan manakala tiga negeri (Kedah, Kelantan dan Terengganu) lain pula dipimpin oleh PN.

4. Perbezaan kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan

Ahli Parlimen Persekutan akan menggubal dasar negara dalam bidang seperti hal ehwal luar negeri, pertahanan, pendidikan dan perdagangan. 

Manakala, DUN pula mewujudkan dasar untuk negeri masing-masing mengenai isu seperti tanah, undang-undang Islam dan kerajaan tempatan.

Umumnya, kerajaan negeri akan mengumpul dananya sendiri daripada keuntungan tanah, hutan dan juga lombong.

Namun begitu, kerajaan persekutuan turut akan memberikan sokongan kewangan kepada kerajaan negeri.

Tanggungjawab yang dikongsi oleh kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan pula merupakan kebajikan sosial, kesihatan awam dan sanitasi.

5. Kesan keputusan PRN kepada kerajaan persekutuan

PRN yang bakal diadakan ini tidak akan memberikan kesan secara langsung terhadap status atau kedudukan perdana menteri mahupun parti kerajaan.

Keadaan ini berlaku kerana, Kerajaan Persekutuan telah memegang majoriti dua pertiga di dalam kerusi parlimen.

Namun begitu, PRN yang bakal diadakan ini boleh menjadi medan pengukur keyakinan yang ada pada para pengundi terhadap kerajaan persekutuan.

Harfiahnya, kerajaan negeri yang dipimpin oleh parti pembangkang akan memberi cabaran kepada pentadbiran kerajaan persekutuan.

Artikel ini ditulis berdasarkan laporan terbitan The Straits Times

Baca juga: Selamba cop orang pergi gym ‘gay’, netizen nasihat ustaz jangan senang jatuh hukum