Malaysia Dateline

Jumlah mangsa banjir di Johor, Kelantan, Perak dan Selangor berkurangan

Sebuah pusat pemindahan ditutup, mangsa banjir menurun kepada 643 orang

Sebuah lagi pusat pemindahan di Melaka ditutup, sekali gus menjadikan jumlah mangsa banjir di negeri ini menurun kepada 643 orang daripada 126 keluarga setakat 8 malam ini, berbanding 775 mangsa daripada 169 keluarga pada petang semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata pusat pemindahan di Balai Raya Kampung Gadek di Alor Gajah itu ditutup pada 5.30 petang tadi, manakala enam lagi pusat berkenaan masih beroperasi.

“Di daerah Alor Gajah, 511 mangsa masih ditempatkan di lima pusat pemindahan melibatkan 280 mangsa di Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing Dalam, 102 mangsa termasuk 94 pelajar Sekolah Tahfiz Panchor di Balai Raya Kampung Panchor dan 75 mangsa di Balai Raya Kampung Beringin.

“Dua pusat pemindahan lain di Alor Gajah membabitkan SK Lesung Batu dan bangunan Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun) Durian Tunggal, masing-masing menempatkan 27 mangsa,” katanya dalam kenyataan, di sini malam ini.

Effendy yang juga Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka, berkata jumlah mangsa yang ditempatkan di Balai Raya Kampung Tanah Merah, Krubong di daerah Melaka Tengah pula adalah 132 orang.

Beliau berkata kejadian banjir di kawasan terbabit dipercayai berpunca akibat hujan lebat berterusan dari 1.30 pagi hingga 5.30 pagi isnin.

— BERNAMA