Suatu ketika dahulu, Sanusi Junid seorang menteri Umno yang berasal dari Kedah pernah mengatakan bahawa kekuatan Pas terletak pada 3P. P pertama adalah Pas itu sendiri. P kedua adalah padi dan P ketiga adalah pondok. Itulah pengamatan Sanusi Junid terhadap kekuatan Pas yang menjadi musuh ketat Umno. Ungkapan itu dilontarkan kepada para pemimpin Umno semasa dalam Perhimpunan Agung Umno.
Jika diperhalusi kenyataan Sanusi Junid itu, surau adalah salah satu unsur yang wujud dalam pondok. Ini kerana pondok adalah institusi agama yang menjadi tempat bersembahyang, berkumpul dan juga pengajian diadakan. Salah satu kekuatan Pas adalah penguasaan mereka di insitusi agama seperti masjid dan surau. Salah satunya adalah surau di Padang Tembak, Teluk Intan.
Surau ini pernah menjadi surau tempat ustaz-ustaz Pas membuat dalam kuliah pengajian mereka. Antara yang memberi pengajian berkala dan tidak berkala ialah Ustaz Sidek Noor, Ustaz Tarmizi Abdul Rahman, Ustaz Sulaiman Mantap dan banyak lagi. Apabila tiba giliran mereka membuat pengajian, ramailah penyokong Pas datang ke surau tersebut. Meriahlah surau tersebut dengan program-program pengajian yang disusun oleh jawatankuasa surau.
Nama surau ini ialah Surau As Saadah tetapi orang Pas lebih mengenali dengan nama Surau Wak Johar atau nama sebenarnya Johar bin Ahmad. Orang tempatan tetap memanggil Surau as Saadah. Saadah adalah nama ibu kepada Wak Johar. Tapak surau itu merupakan wakaf Wak Johar atas nama ibunya, Saadah. Nama Saadah juga diabadikan sebagai nama salah satu lorong yang berdekatan surau itu.
Kampong Padang Tembak diteroka oleh orang Bagan Datoh yang terdiri dari orang Jawa dan Banjar. Mereka diberikan tanah seluas dua ekar untuk dibangunkan dengan aktiviti pertanian. Sebahagiannya meneroka kampong sebelah, Kampong Selabak.
Sebelah surau Wak Johar ada sekolah rendah Islam al Munir. Anak-anak saya bersekolah di situ juga. Tambahan pula, pengasas sekolah tersebut ialah Cikgu Sanusi dan isterinya. Cikgu Sanusi orang Sungai Manik, kampong saya. Kedua-dua pasangan itu adalah pimpinan Pas pada masa itu.
Jika ada program pengajian yang diisi oleh pimpinan Pas, para pelajar akan menerima handbill program tersebut. Biasanya anak saya bawa handbill untuk diberikan kepada saya. Begitu juga anak-anak orang lain. Pada peringkat awal, ramai penyokong Pas yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah tersebut tetapi lama kelamaan sekolah tersebut diterima oleh semua pihak tanpa mengira parti politik. Antara doktrin politik yang kuat pada masa itu bahawa sistem pendidikan di sekolah biasa adalah sekular dan tidak Islamik.
Dalam tempoh yang lebih kurang sama juga, bapa saya mengasaskan sekolah menengah agama rakyat di Sungai Manik. Ramai pelajar al Munir yang menyambung pengajian mereka ke peringkat sekolah bapa. Ini menjadikan hubungan kami bukan setakat dalam parti, sekampong tetapi juga satu aliran pendidikan.
Wak Johar bertanding dalam pilihanraya umum 1982 untuk dun Changkat Jong. Wak Johar dapat undi 1055 dan BN melalui Dato Arshad menang dengan mendapat undi 7746 undi. Jika dilihat mata kasar, Wak Johar bertanding atas dasar perjuangan. Meski beliau sekadar orang kampong biasa, tuntutan perjuangan pada masa itu memaksa untuk beliau bertanding. Wak Johar bukan ahli perniagaan, ahli politik, ulama atau tokoh besar tempatan.
Wak Johar berasal dari Sungai Sumun, Bagan Datoh. Saya sempat berjumpa dan bersembang dengannya. Wak Johar humble dan selalu berbaju Melayu, berkain pelikat dan berkopiah putih. Masa itu, Wak Johar sudah tua. Janggutnya putih beruban dan seorang pendiam. Susuk tubuhnya tidak jauh beza dengan Tuan Guru Haji Ahmad Chenderong Balai yang pernah jadi calon Pas di parlimen Hilir Perak peringkat awal.
Selepas itu, Pas Teluk Intan diketuai Haji Samsuddin Tamyes yang tinggal di Kampong Bahagia. Perwatakannya dengan Wak Johar tidak banyak berbeza. Kedua-dua berketurunan Jawa dan memiliki ramai ahli keluarga mereka yang menyokong Pas.
Anak saudara Wak Johar, Kapten (B) Hj Aris Bakri adalah Yang Di Pertua Pas Bagan Datoh dan bertanding beberapa kali dalam pilihanraya umum. Adik ipar Wak Johar yang bernama Shamsuri bin Omardi pernah menjadi Setiausaha Dewan Pemuda Pas Perak sewaktu Ustaz Fakharuddin Dato Ahmad Ghazali menjadi Ketua Dewan Pemuda Pas Perak.
Kini surau tersebut tidak lagi digunakan untuk sembahyang Jumaat apabila sebuah masjid baru yang terletak bersebelahan dibina. Hanya pelajar-pelajar sekolah al Munir yang menggunakan untuk solat Zuhor. Di situ juga ada Pasti dan pusat rawatan Islam tetapi kini semua aktiviti tidak dapat beroperasi ekoran Covid 19. Semoga roh Wak Johar dicucuri rahmatNya dan kebaikannya berterusan.
Pada masa tahun-tahun 80an, tulang belakang Pas Teluk Intan adalah di cawangan Padang Tembak. Semasa bawah kepimpinan Ustaz Hir Damanhuri, Pas Teluk Intan mula membina markaznya di sebuah tapak yang mereka kongsi membeli bagi mewujudkan sebuah penempatan ahli Pas. Ustaz Hir Damanhuri juga berasal dari Bagan Datok. Kampong asalnya di Sungai Batang, tempat saya lahir di rumah datuk saya, Kiyai Haji Yasin al Bakri.
Sekembalinya saya dari United Kingdom pada 2011, Pas Teluk Intan jemput saya untuk memberi pengisian usrah bulanan kawasan di markaz tersebut. Saya lupa apa topik yang menjadi tajuk usrah pada masa itu. Markaz Pas itu hanya dua pelaung dari rumah saya. Jika ada ceramah, boleh dengar terutama bila malam yang sepi.
Banyak kali juga saya berceramah di situ. Ceramah politik mudah. Bantai musuh politik kaw-kaw. Mereka yang datang mendengar akan bersemangat dam bertakbir. Penceramah kena memiliki kemahiran berpidato seperti Sukarno, Dato Asri atau Ustaz Hadi. Mereka memiliki magnet untuk pengikut yakin segala isi pidatonya.
Sayangnya saya bukan kaki pidato atau seorang orator. Saya suka mendeklamasikan puisi, mengarang kata untuk membina negara dan bangsa. Sayang pula, ramai pendengar pula tidak berahi dengan kata-kata puitis. Mereka mabukkan kata-kata beracun lagi berbisa. Mereka tidak minat sains politik tetapi suka politik emosi.
Oleh sebab itu, kita sebagai anggota masyarakat sepatutnya memberi pendidikan politik warga negara dapat bertanggungjawab memelihara keharmonian dan kemajuan negara. Ini merupakan tanggungjawab semua pihak tanpa mengira parti politik, kaum dan lapisan masyarakat. Untuk peringkat awal, golongan intelektuallah yang terlebih awal melangkah ke hadapan. Memecah ruyung. Tetapi jangan sampai tinggalkan mereka yang lambat faham dan bergerak. Hulurkan tangan kamu, kawan.