Malaysia Dateline

Sebulan berkuasa, pegawai kerajaan jadi kambing hitam PN

Dalam sebulan Perikatan Nasional (PN) mentadbir kerajaan, beberapa anggota pegawai kerajaan didakwa menjadi kambing hitam sikap menteri-menteri yang tidak bertanggungjawab.

Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah, turut melahirkan persoalan bagaimana seorang menteri boleh melepaskan tugasan besar kepada seorang pegawai kerajaan.

Ini selepas ketua setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dikatakan mengeluarkan surat kebenaran beroperasi kilang arak tanpa kelulusan menterinya atau Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

“Kelulusan lesen kilang arak ini terletak di bawah kuasa Kementrian Perdagangan dan Industri Antarabangsa (MITI) yang juga mempunyai Menteri dan Timbalannya sendiri.

“Bagaimana ia boleh terlepas pandang oleh dua Menteri dan dua Timbalan Menteri di bawah dua kementerian. Susah untuk percaya bahawa ia adalah satu kesilapan.

“Kononnya Menteri dan Timbalan Menteri berkenaan tidak terlibat dan tidak tahu menahu keputusan tersebut. Sekali lagi pegawai kerajaan dikambing hitamkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, PN juga pernah menimbulkan kekecohan apabila tidak menjemput lima Negeri pembangkang di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) untuk menyertai mesyuarat khas mengenai Covid-19.

Dikatakan, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika itu sudah mengarahkan agar semua Menteri Besar dan Ketua Menteri dijemput tanpa pengecualian.

Namun, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali, kemudiannya tampil memohon maaf atas kekhilafan berkaitan jemputan ke Mesyuarat Khas yang hanya dikeluarkan kepada Menteri Besar dan Ketua Menteri dari negeri parti komponen Kerajaan Persekutuan.

Raja Kamarul menegaskan, situasi berkenaan memperlihatkan bagaimana seorang penjawat awam yang juga pegawai kerajaan mula menjadi kambing hitam PN untuk dipersalahkan.

“Susah nak percaya ianya berlaku tanpa arahan tertentu dari pihak atasan. Ramai turut bersimpati dengan KSN yang merupakan pegawai bersikap profesional dan berpengalaman.

“Apa gunanya kita mempunyai 70 Menteri dan Timbalan kalau keputusan penting kononnya dibiarkan hanya kepada pegawai kerajaan?.

“Benarkah anggapan rakyat (bahawa) jawatan 70 Menteri adalah sebagai ganimah-habuan rampasan kuasa penubuhan kerajaan pintu belakang?,” soalnya lagi.

Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional itu berkata, rakyat Malaysia dan sebahagian besar pegawai penjawat awam pastinya tidak boleh menerima segala keburukan dilonggokkan keatas kepala pegawai kerajaan.

Bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu juga mempersoalkan keberadaan Menteri Kesihatan yang hilang dari ‘radar’ selepas mengeluarkan kenyataan mengelirukan berhubung isu wabak Covid-19.

“Di mana hilangnya Menteri dan Timbalan-timbalannya yang dua lagi?

“Kalau beginilah situasinya hari ini, sudah jelas 70 orang Menteri sekarang tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik.

“Nampaknya sikap kerajaan PN hari ini ialah segala yang baik dan cantik datang dari ahli politik, yang buruk itu datang dari pegawai kerajaan,” ujarnya.