Malaysia Dateline

Sebulat suara, Mahkamah Rayuan tolak usaha ketepikan G Sri Ram sebagai DPP

Datuk Seri Najib Razak dan peguamnya Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah gagal untuk mengenepikan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) kanan dalam perbicaraan kes masing-masing.

Keputusan ini dibuat oleh Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Datuk Yaacob Md Sam yang mengetuai panel tiga hakim bersama Datuk Lee Heng Cheong dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dengan berkata ia adalah keputusan sebulat suara.

“Kami tidak ragu-ragu Sri Ram lebih layak dan sesuai untuk dilantik sebagai TPR kanan.

“Kami berpendapat Mahkamah Tinggi tidak silap dalam menolak permohonan semakan kehakiman perayu.

“Kami tolak kedua-dua rayuan itu, kami sahkan keputusan perintah Mahkamah Tinggi,” kata Yaacob semasa prosiding dalam talian yang dibuat melalui aplikasi Zoom, lapor The Malaysian Insight.

Terdahulu, Shafee mewakili Najib manakala peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Shafee merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman mereka untuk melucutkan kelayakan bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu.

Pada 28 Ogos tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan pelantikan Sri Ram sebagai sah.

Najib memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk melucutkan kelayakan Sri Ram sebagai TPR kanan dalam kes berkaitan 1MDB pada Disember 2018.

Shafee turut memfailkan semakan kehakiman bagi mengugurkan Sri Ram daripada perbicaraan pengubahan wang haram berjumlah RM9.5 juta.

Mereka mencabar kesahihan pelantikan Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan dalam semua perbicaraan mereka.