Secara prinsip Amanah patut bertanding, kata Mujahid

Secara prinsip Amanah patut bertanding, kata Mujahid

Parti Amanah Negara (Amanah) akan bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar secara prinsip walaupun pimpinan tertinggi Pakatan Harapan masih belum membuat sebarang keputusan.

Naib Presiden Amanah, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, pihaknya bagaimanapun sedia maklum dan menghormati segala keputusan yang akan dilakukan oleh pimpinan PH.

“Secara prinsipnya, Amanah akan ada di mana-mana kerusi yang ditandingi Pas. Saya menjangkakan kita akan buat keputusan dan Pakatan Harapan akan umumkan dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui pemberita di Parlimen, lapor FMT.

Mujahid turut memberi contoh situasi yang berlaku di Pulau Pinang apabila Pakatan Harapan mula bertapak di negeri berkenaan.

“Contohnya di Pulau Pinang, apabila Pakatan Harapan ditubuhkan, semua kerusi yang dimiliki Pas sudah diambil alih oleh Amanah dan itulah prinsip konvensional yang kita fahami,” katanya lagi.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu juga memberi gambaran bahawa situasi PRK kali ini akan berulang pada Pilihan Raya Umum akan datang sekiranya Pas tidak menjelaskan pendirian mereka.

“Perspektif yang harus dipertimbangkan adalah sama ada Pas sebahagian daripada Pakatan Harapan atau sebagai pembangkang.

“Saya lebih rela memberi keutamaan kepada Pakatan Harapan dibandingkan Pas. Isu ini harus diselesaikan bagi mengelakkan berlakunya persaingan tiga penjuru pada masa akan datang,” katanya lagi.

Semalam, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas tidak akan rugi apa-apa sekiranya menang atau kalah dalam pilihan raya kecil akan datang.

TAGS