“Secara rasmi milik kami” – Kelab Persis Solo umum perlantikan Datuk Ong Kim Swee

Oleh WAN SITI AMINAH

Bekas pengendali skuad Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee sah dilantik sebagai ketua jurulatih baharu untuk sebuah kelab bola sepak dalam Liga Indonesia iaitu Persis Solo.

Perlantikan jurulatih berusia 53 tahun itu diumumkan secara rasmi oleh Persis Solo menerusi satu hantaran di platform media sosial X (dahulunya dikenali sebagai Twitter) milik pasukan berkenaan.

Difahamkan, Kim Swee dibawa masuk sebagai pengganti tetap kepada pengendali sebelum ini iaitu Milomir Seslija dari Bosnia-Herzegovina yang meninggalkan pasukan tersebut pada Oktober lalu.

“Secara rasminya milik kami,” kata kelab bola sepak yang turut dikenali sebagai Laskar Sambernyawa itu dalam satu hantaran menerusi akaun X rasmi milik mereka pada malam Isnin.

Pengumuman tersebut sekali gus menjawab teka-teki ke mana hala tuju Kim Swee selepas meninggalkan tugasnya sebagai ketua jurulatih The Rhinos secara rasmi susulan kontraknya tamat bulan ini.

Sekadar info, kelab pasukan Persis Solo kini menduduki tangga tiga tercorot dalam rekod carta liga mencatatkan dua kemenangan, satu seri dan lapan kekalahan dengan pengutan tujuh mata selepas 11 perlawanan.

Kim Swee dilaporkan bakal bekerjasama dengan bekas pemain import Johor Darul Ta’zim (JDT), Moussa Sidibé dan penyerang skuad kebangsaan Indonesia, Ramadhan Sananta untuk membaiki kedudukan Persis seterusnya keluar dari zon penyingkiran.

Terdahulu, Kim Swee pada Khamis lalu mengumumkan perpisahan dengan skuad Sang Badak selepas kontraknya tamat pada 30 November sekali gus menjadi titik noktah kepada tempoh 36 bulan kecemerlangannya di Kota Kinabalu sejak 2021.

Sejak dilantik pada September 2021, Kim Swee membantu Sabah menamatkan Liga Super dalam kelompok tiga teratas bagi dua musim berturut-turut selain berjaya mara ke separuh akhir Zon Asean Piala AFC pada musim lalu.

Baca juga: Lelaki terkedu kena ‘reject’ bakal majikan sebab berasal dari Kelantan