Malaysia Dateline

Secebis pengajaran dari kisah mantan PM dan isteri

Perubahan kuasa politik yang berlaku pada bulan Mei 2018, hakikatnya adalah perubahan yang signifikan kepada negara.

Ia memulakan suatu perubahan baharu dalam sistem pentadbiran Malaysia, terutama dalam sistem memerangi rasuah, salahguna kedudukan, salahguna kuasa dan salahguna harta rakyat.

Malaysia seharusnya berada setaraf dengan Korea Selatan jikalau tiada kebocoran yang berleluasa.

Menurut ahli-ahli ekonomi dianggarkan kebocoran yang berlaku di Malaysia, lebih daripada RM60 bilion setahun.

Orang-orang besar didakwa dan didapati bersalah selepas Pilihan Raya 2018. Ini menandakan suatu usaha dan gerakan politik baharu yang muncul di Malaysia yang dipaksikan oleh Pakatan Harapan.

Boleh dikatakan kebanyakan Presiden Korea Selatan selepas bersara, hidup mereka berakhir dalam penjara.

Yang terakhir, Presiden dari kalangan wanita mereka yang baharu dibebaskan selepas menjalani hukuman lebih daripada tiga tahun dalam penjara.

Kita mengharapkan revolusi kehakiman yang berlaku dalam negara kita ini, bermula dan berterusan, supaya siapa sahaja yang mendapat kuasa selepas PRU akan datang, mereka perlu menjaga harta rakyat sebaik-baik mungkin.

Mereka hendaklah berkhidmat kepada negara. Jika tidak mencukupi gaji dan elaun yang diperolehi, boleh diusahakan supaya mereka memperolehi pendapatan yang seimbang, terutama kepada Menteri, Ahli-ahli Parlimen dan sebagainya.

Ini kerana gejala rasuah amat membebankan negara. Ia boleh menjatuhkan sesebuah negara seperti yang berlaku di Sri Lanka.

Kita melihat negara jiran yang terdekat dengan kita seperti Indonesia, hasil mahsulnya tidak terlalu besar, tetapi kebocoran amat rendah, menyebabkan mereka mempunyai ‘reserve’ yang tinggi.

Negara-negara jiran kita amat kaya. Kita boleh melihat bagaimana Singapura mempunyai Dollar yang kuat, jauh meninggalkan Malaysia.

Ayuh rakyat Malaysia, teruskan perubahan. Tekadkan supaya memerangi rasuah menjadi agenda utama rakyat.

Negara kita akan lebih selamat, bahagia dan lebih makmur pada masa akan datang. Usaha secara besar-besaran sebelum ini bukan tidak ada, tetapi ia lebih signifikan selepas perpindahan kuasa rakyat pada 2018.

Kita berharap generasi yang akan datang dapat menikmati keadaan ekonomi yang lebih baik, hidup lebih selesa jika dibandingkan pada masa lalu.

Selamat berjuang dan selamat menyambut kemerdekaan yang dicapai selama 65 tahun.

  • Penulis adalah Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) yang juga Ahli Parlimen Kota Raja.