Malaysia Dateline

‘Sedarlah! Covid itu benar, kematian itu benar’, KKM tonjol kontena simpan mayat

Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Twitter malam ini memuatnaik poster yang menonjolkan suasana dalam kontena khas bagi menyimpan mayat pesakit Covid-19.

Mesej itu diketengahkan dengan penekanan bahawa kematian akibat pandemik tersebut semakin naik mendadak.

Dalam masa sama, kes harian Covid-19 juga terus melambung melebihi 7,000 kes untuk tempoh tiga hari berturut-turut dengan 7,857 kes setakat semalam.

Poster dengan kapsyen, ‘Sedarlah! Covid itu benar, kematian itu benar’ turut berserta imej petugas dengan berpakaian perlindungan diri (PPE).

Terdahulu, KKM memberitahu Hospital Selayang terpaksa menggunakan kontena khas bagi menyimpan jenazah selepas Hospital Sungai Buloh berbuat demikian minggu lalu.

“Kontena khas yang disediakan Unit Perubatan Forensik Hospital Selayang ini boleh menempatkan 20 jenazah/mayat tambahan,” katanya.

Sebanyak 2,491 kes kematian direkodkan akibat Covid-19 setakat ini manakala 771 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) termasuk 392 daripadanya bergantung pada bantuan alat pernafasan.

Semakan Malaysia Dateline mendapati kes kematian meningkat 39 peratus dalam tempoh dua minggu sejak 13 Mei lalu iaitu dari 1,788 kepada 2,491 kes pada 27 Mei.