‘Sedekah’ ayam masak kunyit punca 52 pelajar Tahfiz keracunan makanan

‘Sedekah’ ayam masak kunyit punca 52 pelajar Tahfiz keracunan makanan

Dr Zainuddin Mohd Ali

Seramai 52 pelajar Sekolah Rendah Islam Integrasi Tahfiz Darul Ulum, Senawang di sini, mengalami keracunan makanan selepas dipercayai makan ayam masak kunyit yang disedekahkan seorang awam, hari ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, Dr Zainudin Mohd Ali, berkata semua pelajar terbabit mengadu sakit perut pada jam 3 pagi dan dibawa mendapatkan rawatan di hospital dan klinik kesihatan pada jam 8 pagi.

Katanya, 36 pelajar dirawat sebagai pesakit luar Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini, dengan 33 sudah dibenarkan keluar manakala tiga lagi pelajar dipantau di wad kecemasan.

“Sementara itu, 16 pelajar menerima rawatan di Klinik Kesihatan Ampangan dan mereka dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Zainudin berkata, semua pelajar berusia tujuh hingga 12 tahun itu disyaki memakan ayam masak kunyit yang diberikan orang awam untuk makan malam, semalam.

“Pihak kami sudah mengenal pasti individu yang memberi sedekah makanan itu dan siasatan di rumahnya mendapati dapur dalam keadaan bersih ketika penyediaan makanan,” katanya.

Jelasnya, beberapa sampel makanan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan di Sungai Buloh, Selangor untuk ujian dan keputusan dijangka diterima antara satu hingga dua minggu.

“Buat masa ini, punca sebenar masih dalam siasatan. Pihak kami mengingatkan orang ramai supaya mengamalkan pemakanan selamat melalui konsep ‘lihat, hidu dan rasa’ sebelum menjamah.

“Pengusaha dan pengendali makanan diingatkan menjadi tanggungjawab mereka untuk memastikan premis mempunyai sanitasi yang baik selain pengendalian makanan dilakukan secara bersih dan selamat,” katanya.