Semua pegawai di jabatan dan agensi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bersiap sedia serta sentiasa memantau dari semasa ke semasa keadaan cuaca panas yang dijangka menjejaskan sektor pertanian negara.
Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata setakat ini keadaan stok pertanian negara masih terkawal dan pihaknya akan memastikan khususnya barangan keperluan harian mencukupi.
“Kita pantau keadaan itu dari semasa ke semasa. Ini memang kita pantau dalam bentuk harian. Pegawai kita antaranya di Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) setiap masa pantau supaya stok ada dan mencukupi,” katanya.
Mohamad berkata kementeriannya juga turut merangka pelan kecemasan sekiranya berlaku situasi kekurangan bekalan makanan berikutan situasi cuaca panas ketika ini.
“Kita sedia juga (ada pelan) kecemasan kalau perlu import (barangan pertanian) jika berlaku sebegitu rupa. Kita sudah ada tempat (dari mana nak diimport) kalau perlu buat dalam keadaan segera,” katanya.
Terdahulu, Mohamad hari ini turut melancarkan Jualan Agro MADANI di bertempat di Kampung Johan Setia di sini dan jelasnya penganjuran program itu akan dilaksanakan di sembilan lokasi lain sekitar Selangor dan Kuala Lumpur selepas ini.
Katanya, Jualan Agro MADANI merupakan projek rintis berkonsepkan jualan pada harga berpatutan berfokuskan kepada pengguna yang memerlukan dan platform dalam menyediakan ketersediaan serta akses kepada pengguna dalam mendapatkan barangan keperluan seterusnya memberi ruang pasaran kepada usahawan.
“Melalui program ini, komoditi jualan diperluaskan meliputi produk segar dan barang kawalan dengan penjimatan 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran setempat bagi komoditi terpilih.
“Antara fokus lokasi melalui Jualan Agro MADANI adalah di outlet peruncitan agensi di bawah KPKM, Projek Perumahan Rakyat (PPR), kawasan perumahan, kawasan miskin bandar dan pinggir bandar,” katanya.
Mohamad berkata sasaran nilai jualan bagi program berkenaan adalah sekitar RM150,000 bagi 10 kali penganjuran dan dijangkakan seramai 5,000 pengunjung akan hadir dengan menikmati penjimatan sejumlah RM45,000.
Katanya, pemakluman lokasi penganjuran seterusnya akan dilakukan di laman sosial rasmi milik Fama dalam masa terdekat.
— BERNAMA
Baca juga: Ibu kepada anak berusia 5 tahun didakwa bekal alat ganti untuk dapatkan suapan
Baca juga: Pergi bengkel hanya sebab kerosakan brek, wanita terkejut kena caj RM4,700