Sedia hilang hak anjur sukan paralimpik demi untuk Palestin

Sedia hilang hak anjur sukan paralimpik demi untuk Palestin
Jika penganjuran sebuah acara sukan antarabangsa lebih penting daripada membela saudara kami di Palestin yang dibunuh, dicacatkan dan diseksa rejim (perdana menteri Israel) Netanyahu itu. kata Syed Sadiq.

Malaysia sedia kehilangan hak untuk menganjurkan sukan paralimpik antarabangsa dari membiarkan saudara mereka di Palestin dibunuh oleh rejim Israel, kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Jika penganjuran sebuah acara sukan antarabangsa lebih penting daripada membela saudara kami di Palestin yang dibunuh, dicacatkan dan diseksa rejim (perdana menteri Israel) Netanyahu, itu bermakna Malaysia sudah hilang kompas moralnya,” kata Syed Saddiq dalam satu kenyataannya.

Katanya, kerajaan tidak akan berkompromi dan berdiri teguh dengan keputusannya atas dasar kemanusiaan dan belas kasihan terhadap nasib rakyat Palestin.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan IPC bahawa Amnesty International dan Human Rights Watch sendiri telah mendakwa bahawa rejim Netanyahu terlibat dalam jenayah perang.

“Sebagai pemimpin Israel, dia mewakili hasrat kolektif kerajaan Israel. Israel ialah lokus kepada tindakan moral kolektif mereka,” katanya.

Terdahulu, IPC pada Ahad memutuskan untuk melucutkan hak penganjuran Malaysia sebagai tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang bakal dianjurkan di Kuching, Sarawak 29 Julai hingga 4 Ogos ini.

Presiden IPC, Andrew Parsons berkata perkara tersebut diputusan jawatankuasa itu semasa bermesyuarat di London.

Ia susulan Kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Dalam Negeri gagal memberi jaminan diperlukan perenang Para Israel untuk menyertai kejohanan, bebas dari diskriminasi dan selamat dalam kejohanan.

Baru-baru ini, kerajaan membuat keputusan untuk tidak membenarkan atlet Israel memasuki negara ini serta menyertai Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak yang akan berlangsung 29 Julai hingga 4 Ogos depan.

Penegasan kerajaan Malaysia menyebabkan Israel tidak senang dengan keputusan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan menggelar Perdana Menteri sebagai ‘anti-Semitisme melampau’.

 

KETEGASAN PM

Sebelum ini, Timbalan Ketua Pemuda AMANAH, Faiz Fadzil berkata, ketegasan Perdana Menteri Tun Dr Dr Mahathir Mohamad tidak membenarkan mana-mana rakyat Israel memasuki negara ini adalah selari dengan pembinaan Malaysia baharu.

Faiz Fadzil, tindakan itu dilihat berasaskan prinsip keluhuran undang-undang dan sikap Israel yang tidak menghormati undang-undang tidak boleh dikompromi.

“Justeru itu, Pemuda Amanah menyokong penuh ketegasan Tun Dr Mahathir terhadap Israel dengan tidak membenarkan mana-mana rakyat mereka memasuki negara ini.

“Pendirian ini mencerminkan Malaysia tidak mengiktiraf malah tidak berkompromi dengan jenayah dan kekejaman yang telah dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur malam ini.

Sebelum ini, Dr Mahathir berkata kerajaan mengambil pendirian tegas untuk tidak membenarkan atlet Israel daripada menyertai Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang akan diadakan di Kuching dari 29 Julai hingga 4 Ogos.

Keputusan untuk tidak membenarkan atlet Israel bertanding mendapat bantahan dari Jawatankuasa Olimpik Israel yang terus memberi tekanan kepada pihak penganjur mengeluarkan visa kepada atlet mereka.