Malaysia Dateline

Tun Dr Mahathir Mohamad

Sedia lepas jawatan Mahathir negarawan sejati, kata NGO

Kesediaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melepaskan jawatannya serta-merta jika diminta berbuat demikian oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) membuktikan beliau seorang negarawan sejati demi kecintaan beliau kepada negara serta tidak memungkiri janji.

Jingga 13 Malaysia dalam kenyataan pada Rabu merakamkan rasa hormat dan terima kasih diatas kesediaan Tun Mahathir yang bersedia untuk memastikan keputusan Konvensyen PH yang telah dimeterai di IDCC Shah Alam pada 7 Januari 2018 direalisasikan diatas prinsip perpaduan PH.

Fariz Musa

Menurut Ketua Koordinator Jingga 13 Malaysia, Fariz Musa, kenyataan Tun Mahathir tersebut sudah pasti disambut dengan hati yang terbuka dan menutup sebarang spekulasi yang cuba untuk membuat pelbagai persepsi dan andaian, malah mengapi-apikan PH agar dilihat berantakan dalam isu tersebut, sedangkan tempoh dua tahun belum lagi berlaku.

“Transisi kuasa ini sudah pasti akan memberikan impak yang positif antara Tun Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke 8 berlangsung dalam suasana yang cukup harmoni dan sempurna agar negara akan terus dipacu dengan lebih cemerlang

lagi setelah usaha bersungguh-sungguh Tun Mahathir membaiki negara yang telah dirosakkan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Jingga 13 yakin Anwar mampu meneruskan legasi Tun Mahathir dan merealitikan agenda reformasi ke arah negara yang lebih terbilang serta menyempurnakan manifesto PH, menjana ekonomi yang lebih mampan, menghapuskan rasuah dan penyelewengan serta membina kehidupan rakyat yang lebih baik terutamanya golongan B40.

“Adalah diharapkan Majlis Presiden PH yang bakal bersidang dapat menetapkan tarikh yang terbaik agar transisi ini berlangsung dalam suasana yang harmoni demi perpaduan dan penyatuan PH, ” ujarnya.

Disamping itu tambah Fariz, sudah pasti rakyat ingin melihat transisi ini berlangsung dalam suasana yang sempurna, manakala Tun Mahathir pula akan senantiasa disanjung sebagai Negarawan Sejati.