Sedia mohon maaf jika tersilap langkah

Sedia mohon maaf jika tersilap langkah

Kerajaan negeri Melaka adalah sebuah kerajaan rakyat yang bersedia mendengar dan menerima kritikan serta nasihat rakyat, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Mohd Sofi Abdul Wahab.

Katanya, pihaknya sentiasa terbuka dan bersedia memohon maaf jika tersilap dalam menyusun dan menguruskan negeri Melaka.

“Kami sentiasa menambahbaik perkhidmatan kami dengan penambaikan berterusan (continual improvement). Antaranya dengan meningkatkan kompetensi (competency) semua anggota kerajaan negeri, penjawat awam dan pemimpin komuniti.

Beliau berkata demikian berhubung isu video ‘naik suara’ membabitkan seorang Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani negeri, Norhizam Hassan Baktee bersama penduduk di Kampung Pulau Nibong Selasa lepas sehingga menjadi viral di media sosial.

Menurut Sofi, Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Melaka (MELCAT) yang ditubuhkan bukan hanya semata-mata menambahbaik tadbir urus pentadbiran kerajaan tetapi juga untuk meningkatkan kompetensi mereka.

“Program-program seperti kursus, latihan, bengkel dan sebagainya perlu dipergiatkan bagi meningkatkan kompetensi semua anggota pentadbiran negeri di setiap peringkat,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Di samping itu katanya, pemimpin dan rakyat juga harus saling menghormati antara satu sama lain bagi memudahkan setiap perancangan kerajaan dijalankan.

“Jika ada perkara-perkara yang tidak menyenangkan ia mesti dimusyawarahkan secara matang dan professional,” tambah beliau.

9.0
OVERALL SCORE
: 8.0
1 user vote x 10.0