Sedia pendidikan politik teras kenegaraan jika mahu beri kuasa belia memimpin

Sedia pendidikan politik teras kenegaraan jika mahu beri kuasa belia memimpin

Anak muda perlu dipersiapkan dengan pendidikan politik berteraskan kenegaraan jika kerajaan benar-benar ingin memberi kuasa kepada golongan belia dalam negara untuk menjadi seorang pemimpin.

Ketua Dewan Pemuda Pas, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, faktor kekurangan pendedahan pendidikan sivik dan pengundi tidak boleh dijadikan alasan untuk menidakkan hak belia 18-20 tahun untuk mengundi.

Justeru katanya, sudut pendidikan dilihat perlu ditambah baik dengan memasukkan elemen politik kenegaraan di dalam silibus sistem pendidikan agar dapat melahirkan kualiti pemimpin politik yang berpelajaran.

“Isu besarnya ialah kalau kita rela nak bagi kuasa pada belia untuk memimpin atau untuk mengundi dan memilih pemimpin dia, maka anak-anak muda perlu diberikan maklumat yang betul.

“Maknanya mereka perlu diperbetulkan dari sudut pendidikan yang ada sekarang, kita perlu tambah baik dengan menambahkan elemen politik kenegaraan didalam sistem pendidikan politik negara

“Isu pendidikan ni penting. kalau tidak, nanti kita dapat kualiti pemimpin yang boleh memimpin politik tapi pelajaran dia rosak (teruk),” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Beliau turut menyentuh tentang sistem pendidikan Pas yang diamalkan di Sekolah Rendah Integrasi Islam yang mengamalkan sistem politik kenegaraan dan bukannya yang berteraskan parti.

Beliau berkata, ia sebagai memberi persediaan yang cukup kepada belia untuk terlibat dalam proses pilihan raya negara.

“Pas sendiri mempunyai sekolah Integrasi Islam dan dalam sistem pendidikan Pas, memang kita meletakkan pendidikan politik di dalam sistem pendidikan kita.

“Kita tak buat silibus sejarah Pas kat situ tapi kita bagi maklumat dan pendedahan tentang asas sistem politik dalam negara. Apa itu demokrasi, kenapa perlu ada sistem raja berparlimen dan raja berperlembagaan untuk wujudkan semangat patriotisme,”katanya.

Sementara itu, Khairil berkata, usia 18 tahun sememangnya layak menjadi seorang wakil rakyat seperti yang termaktub di dalam Islam bahawa di usia tersebut sudah dikira baligh yang melayakkan seseorang berfikir dan menjadi pemimpin.

Jelasnya, usia tersebut adalah usia yang matang, dan meminta supaya pihak kerajaan memberi ruang kepada pihak pembangkang untuk mendidik rakyat dan mempersiapkan mereka.

“Kematangan itu datangnya dengan sistem pendidikan, bukan datang automatik. Jadi kerajaan kena bagi ruang supaya kita boleh banyakkan program dan forum yang membina jati diri.

“Berikan ruang kepada pembangkang untuk sama-sama menghidupkan politik demokrasi dalam negara,” ujarnya.