Malaysia Dateline

Sedia pusat kuarantin swasta untuk pekerja asing, B40

Kerajaan disarankan bekerjasama dengan pihak swasta untuk menubuhkan pusat kuarantin swasta, seperti Pusat Kuarantin & Rawatan Covid-19 Swasta (PKRCS) yang dioperasi oleh CREST Malaysia di Travelodge City Centre di Jalan Hang Kasturi di Kuala Lumpur.

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok mencadangkan kerajaan bekerjasama dengan kerajaan negeri, NGO ataupun persatuan pengilangan dan persatuan perniagaan tempatan untuk mencari tapak untuk menubuhkan pusat kuarantin swasta yang sementara.

Katanya, pusat kuarantin ini boleh diwujudkan di ruang kilang yang kosong yang tidak beroperasi, hotel bajet yang tutup kerana tiada bisnes, bangunan komersial yang kosong, malah dewan orang ramai, bergantung kepada keadaan tempatan.

“Kementerian Kesihatan haruslah bekerjasama dengan kerajaan negeri dan kerajaan tempatan untuk mengadakan dialog dengan syarikat dan pengilang swasta yang mempunyai kes Covid-19 yang tinggi untuk meminta kerjasama mereka menubuhkan pusat kuarantin sementara bagi pekerja asing Covid-19 di tempat mereka.

“Selain itu, kerajaan pusat juga boleh menawarkan potongan cukai kepada penderma untuk initiatif tersebut.

“Saya menyeru Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara boleh melibatkan sektor swasta dan persatuan tempatan dalam usaha mereka untuk menegah penyebaran penyakit Covid-19, khususnya di kawasan Lembah Klang, supaya kes Covid-19 yang tinggi tersebut boleh diturunkan dengan secepat mungkin,” ujarnya.

PKRCS memberi penginapan percuma kepada pesakit Covid-19 yang papa miskin adalah initiatif yang amat baik yang harus dicontohi oleh banyak pihak dalam masyarakat negara ini.

Beliau berkata, walaupun Menteri Kesihatan berkata kes pesakit Covid-19 yang serius telah menurun kerana ramai warga Malaysia telah divaksinasi, tetapi negara masih menghadapi 20,000 kes Covid-19 yang baru dan 300 pesakit Covid yang mati secara purata setiap hari hampir dua bulan sehingga hari ini.

Kini, Kementerian Kesihatan membenarkan pesakit Covid-19 tahap 1 dan 2 untuk menjalani kuarantin di rumah kerana pusat kuarantin kerajaan telah penuh.

Kuarantin di dalam rumah kata Teresa telah menjadi salah satu punca penjangkitan penyakit Covid-19 khususnya bagi pesakit golongan B40 dan pekerja asing yang duduk di rumah yang sesak.

Mengikut laporan Bernama bertarikh 26 Ogos 2021, Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor diberitahu setakat hari tersebut, seramai 53,571 orang pekerja industri telah dikenal pasti positif COVID-19 sejak Julai, melalui saringan yang dijalankan di tempat kerja masing-masing.

Daripada jumlah pekerja industri yang dinyatakan, 62 peratus adalah terdiri dari pekerja di sektor perkilangan (33,214 orang); 14.5 peratus adalah terdiri dari sektor perkhidmatan (7,768 orang); 13.5 peratus pekerja sektor pembinaan (7,232 orang) dan 10 peratus pekerja di sektor perdagangan (5,357 orang).

“Ramai pekerja yang dijangkiti Covid-19 di sektor perkilangan dan sektor pembinaan tersebut adalah pekerja asing yang duduk bersama dengan rakan sekerja mereka di rumah yang sesak.

“Keadaan ini telah menyumbang kepada pengwujudan kluster Covid di beberapa tempat di Lembah Klang, ia juga menyebabkan kes Covid-19 di Negeri Selangor dan Kuala Lumpur selalu berada di tahap tinggi,” katanya.