Sediakah DAP,MCA, Gerakan hapuskan Sekolah Vernakular, soal Bersatu Port Dickson

Sediakah DAP,MCA, Gerakan hapuskan Sekolah Vernakular, soal Bersatu Port Dickson

Gesaan supaya kuota matrikulasi ini dihapuskan hanyalah sia-isa dan melanggar perlembagaan, kata Ahli Jawatankuasa Bahagian Bersatu Port Dickson, Megat Muhammad Faris.

Beliau berkata, dalam era Malaysia Baharu di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sikap keterbukaan untuk dikritik digalakkan tetapi janganlah menggunakan keterbukaan itu untuk melanggar perlembagaan.

“Kalau mereka mempersoalkan tentang perkara ini saya cadangkan kita hapuskan sekolah vernekular dahulu barulah kita bicara soal kuota matrikulasi.

“Adakah DAP, MCA, dan Gerakan bersedia sekolah vernekular dihapuskan?

“Jika belum jangan mula bicara soal kuota matrikulasi dan hak-hak bumiputera,” ujarnya dalam kenyataan.

Beliau mengulas mengenai kritikan yang dilemparkan pimpinan politik dari DAP, MCA dan Gearakan di atas pendirian Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik untuk mengekalkan merit kemasukan bumiputera 90 peratus dan bukan bumiputera 10 peratus di Kolej Matrikulasi Kementerian Pendidikan.

Megat Muhammad juga berkata, beberapa pemimpin DAP seperti Teng Chang Khim mengeluarkan perkataan “bodoh” kepada Dr Maszlee dan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy mengatakan Dr Maszlee sama dengan “ahli politik Umno” adalah tidak wajar sama sekali.

“Jika tidak berpuas hati dan tidak bersependapat janganlah menghalalkan perkataan yang tidak sepatutnya kepada individu tersebut.

“Kenyataan dan pendirian Dr Maszlee perlu di sokong teguh demi kelansungan Malaysia Baru di bawah pemerintahan Pakatan Harapan,” ujarnya.

Pada Khamis Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dalam ucapannya di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang berkata, kuota matrikulasi bukan bumiputera dan keperluan fasih berbahasa Mandarin untuk memohon pekerjaan tidak boleh dilihat secara terpisah.

Jelas Maszlee, adalah sesuatu yang tidak adil sekiranya kuota matrikulasi untuk bukan bumiputera dilonggarkan dan pada masa yang sama para majikan masih menetapkan syarat perlu fasih berbahasa Mandarin untuk mendapatkan pekerjaan yang secara tidak langsung menafikan hak kaum bumiputera.

Dr Maszlee memberitahu, keadilan bukan hanya dilihat dalam aspek kuota kaum untuk kemasukan program matrikulasi sahaja, tetapi juga kelayakan dalam memohon pekerjaan.

Keadaan itu mengundang reaksi kurang senang pelbagai pihak termasuk Presiden Gerakan Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai, beberapa pemimpin DAP serta yang terbaharu MCA yang mengkritik dan mengecam kenyataan Maszlee tersebut.

Dalam pada itu, Dominic turut meminta Maszlee untuk menarik semula kenyataannya serta memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia.