Malaysia Dateline

Sediakan internet di masjid untuk kemudahan murid asnaf belajar

Masjid-masjid perlu memainkan peranan dengan membenarkan pelajar menggunakan akses internet yang disediakan bagi memudahkan mereka yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan Internet sepanjang proses pembelajaran atas talian.

Adun Durian Tunggal, Datuk Sofi Wahab berkata, pihak Jawatankuasa masjid perlu mempertimbangkan perkara berkenaan dan membenarkan pelajar menjalani PdPR di masjid-masjid dengan prosedur operasi standard (SOP) yang bersesuaian.

Menurutnya, keluasan masjid yang besar boleh digunakan kepada murid-murid asnaf untuk proses pembelajaran selain memaksimumkan penggunaan kemudahan Internet di sana.

“Saya cadangkan supaya masjid-masjid menyediakan akses internet ini. Masjid yang besar kita tahu ada dewan. Kita benarkanlah anak-anak dari keluarga miskin ini belajar di sana dengan SOP yang ketat.

“Mungkin sehari dalam 10 orang atau 20 orang kerana keluasannya besar.

“Sediakan akses internet yang tiada had dan benarkan anak-anak dari golongan asnaf ini untuk datang ke masjid dan belajar,” katanya dalam satu bicara santai baru-baru ini.

Pada masa sama, Timbalan Pengerusi AMANAH Melaka itu juga mencadangkan agar pusat-pusat zakat dan jawatankuasa masjid untuk bergerak lebih aktif mencari dan membantu keluarga yang susah.

Menurutnya, bantuan ketika ini tidak seharusnya dilihat dalam bentuk sumbangan makanan sahaja, tetapi juga merangkumi kemudahan pembelajaran anak-anak seperti akses internet.

“Kita sebagai institusi apa pun, pemimpin besar mana pun atau kecil mana pun, kita kena cari (orang susah) dan bantu.

“Institusi yang ada duit ini, duitnya kita jangan simpan sahaja. Kena bantu,” tegasnya lagi.