Malaysia Dateline

Sediakan jentera pilihan raya yang lebih mantap, kata Presiden AMANAH

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada masa ini adalah tidak stabil dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja, tegas Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.

Sehubungan itu, katanya, jentera Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di semua bahagian perlu disediakan.

“Jadi, dalam usaha untuk kita buat percaturan politik semula, kita perlu sediakan jentera pilihan raya yang lebih mantap untuk digerakkan di semua bahagian,” ujarnya.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata demikian dalam ucapannya semasa Konvensyen AMANAH Negeri Sembilan di Dewan Cattleya, Seremban hari ini.

Beliau juga dalam masa sama berkata, AMANAH belum lagi berbincang mengenai pembahagian kerusi sama ada di peringkat nasional mahupun peringkat negeri.

Sementara itu, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa mengesahkan pembahagian kerusi pada PRU15 akan dibincangkan dalam pertemuan BN dan Perikatan Nasional (PN) minggu depan.

Kerajaan PN yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya mempunyai majoriti tipis yang bila-bila masa sahaja akan tumbang jika blok pembangkang benar-benar bersatu.

Sehubungn itu, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 28 November lalu dilapor berkata, kerajaan berhasrat untuk mengadakan PRU15 sebaik sahaja penularan pandemik Covid-19 di negara ini berakhir.