Sedia maafkan Umno:PAS Kota Bharu cadang Takiyuddin saman media

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

PAS kawasan Kota Bharu mencadangkan Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan mengambil tindakan undang-undang ke atas media yang memutar belit isu PAS sedia memaafkan kesalahan Umno selepas program Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) minggu lalu.

Timbalan Yang Dipertua PAS Kota Bharu Dr Rosli Allani Abdul Kadir berkata, tindakan undang-undang boleh membersihkan nama Takiyuddin yang juga ahli Parlimen Kota Bharu di sampingpenafian tegasnya atas usaha cuba memalu gendang kerjasama yang digambarkan oleh media.

Sedangkan katanya, yang dimaksudkan adalah perpaduan berlandaskan syariat.

“Umum menerima pakai bahawa Umno ialah parti perjuangan Melayu dan PAS perjuangan berlandaskan syariat yang pastinya penuh keadilan tidak pernah wujud dalam kamus perjuangan Umno.

“Hakikat inilah yang telah sebati dalam diri para pendokong PAS. Maka keperitan hasil kezaliman yang telah dilakukan tidak mungkin boleh dilupakan dan dimaafkan sewenang wenangnya khususnya oleh pengikut bawahan dan tiada yang berhak memaafi melainkan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Cadangan tindakan undang-undang ini diputuskan dalam mesyuarat Harian PAS kawasan Kota Bharu yang berlangsung semalam.

Ia sekaligus menyokong kenyataan Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Samad bahawa PAS perlu berhati hati dengan perkembangan baharu yang sedang belaku sekarang.

Dalam kenyataan Iskandar yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor, beliau secara jelas melihat seolah- olah ada perangkap di sebalik salam perpaduan yang dicanang dengan begitu rancak sekali oleh pemimpin Umno dan pengamal media.

Beliau jelas mengingatkan PAS supaya mengambil langkah yang sewajarnya agar tidak digigit dalam lubang yang sama dua kali.

“Kekhuatiran bahawa persepsi yang terbina hasil tangan yang terhulur ini boleh menghakis kepercayaan pengundi atas pagar dan bukan Melayu kepada PAS sangat relevan kerana corak dan komposisi pengundi dalam Parlimen Kota Bharu hampir sama dengan lebih majmuk seperti negeri Selangor dan ini memerlukan satu penegasan yang sepatutnya oleh pemimpin tertinggi PAS,” katanya.

Iskandar menyenaraikan sekurang-kurangnya 10 pihak yang berhak untuk memaafkan Umno selepas empat hari Takiyuddin dikatakan pernah mengeluarkan kenyatakan kesediaan PAS untuk memaafkan kesalahan yang pernah dilakukan Umno terhadap parti Islam tersebut.

TAGS