Malaysia Dateline

Sediakan subsidi khas penjagaan kanak-kanak sepanjang tempoh PKP

Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan supaya mempertimbangkan pemberian bantuan tambahan kepada pusat pendidikan awal kanak-kanak (ECCE) agar pelepasan yuran boleh diberikan kepada ibu bapa sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, wakil rakyat PH berkata, subsidi khas untuk penjagaan dan ECCE sangat diperlukan berikutan lanjutan tempoh PKP sehingga 28 April.

“Perselisihan faham antara ibu bapa dan pihak pengendali Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika), Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) dan pusat jagaan kanak-kanak semakin memuncak sejak akhir Mac lalu.

“Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pusat ECCE tidak dibenarkan untuk beroperasi. Meskipun pengendali dapat menikmati penjimatan dari segi kos elektrik, air dan makanan, mereka masih perlu membayar gaji pekerja dan menanggung bayaran sewa premis.

“Ibu bapa telah memohon budi bicara pengendali pusat jagaan kanak-kanak untuk memberikan potongan yuran bulanan bagi bulan April sejak hari pertama PKP dikuatkuasakan,” kata kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu dibuat oleh Ahli Parlimen Merbok, Nor Azrina Surip, Senator Dewan Negara, Aiman Athirah Al-Jundi dan Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching

Bagaimanapun katanya, tidak semua pengendali pusat jagaan kanak-kanak memberikan respons yang positif kepada permohonan tersebut, dan jika permohonan itu dilayan sekalipun, sesetengah daripada mereka hanya menawarkan potongan sebanyak 10% hingga 25% sahaja.

Katanya lagi, memandangkan PKP telah dilanjutkan sehingga 28 April, kita sudah boleh menjangkakan yang lebih ramai ibu bapa mahu potongan yuran yang lebih tinggi, kalaupun tidak sepenuhnya.

“Kita sewajarnya mengambil iktibar daripada pendekatan yang diambil oleh kerajaan Australia dan Singapura dalam menangani permasalahan ini, walaupun keadaannya mungkin sedikit berbeza dengan negara kita.

“Kerajaan Australia misalnya, membayar sebanyak kira-kira 50% daripada yuran bulanan biasa kepada pusat jagaan kanak-kanak. Ini bermakna perkhidmatan penjagaan kanak-kanak di negara itu adalah percuma sepanjang krisis koronavirus.

“Pengendali pusat jagaan kanak-kanak tidak dibenarkan untuk mengenakan apa-apa bayaran kepada ibu bapa; semuanya ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan.

“Pada masa yang sama, kerajaan Australia juga membenarkan pusat jagaan kanak-kanak untuk terus beroperasi dan memberikan keutamaan kepada pekerja dalam sektor penting, kanak-kanak yang terdedah kepada ancaman bahaya serta datang dari keluarga kurang berkemampuan,” katanya.

Jelasnya, lebih ramai ibu bapa yang akan memerlukan khidmat pusat penjagaan kanak-kanak susulan keputusan kerajaan membenarkan beberapa sektor ekonomi terpilih untuk menyambung semula operasi secara berfasa dengan garis panduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan yang ketat sepanjang tempoh PKP.

Menurutnya, di Singapura, perkhidmatan jagaan kanak-kanak disediakan untuk petugas barisan hadapan serta pekerja dalam sektor penting sepanjang tempoh “circuit breaker”.

“Oleh itu, kami percaya bahawa sebuah skim khas untuk perkhidmatan penjagaan kanak-kanak perlu disediakan dengan kadar segera kerana ia bukan sahaja akan menyelesaikan perselisihan faham yang timbul antara ibu bapa dan pengendali, malah akan menjadikan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak lebih teratur dan terurus untuk petugas barisan hadapan serta pekerja dalam sektor penting.

“Justeru itu, kami menggesa kerajaan supaya mempertimbangkan pemberian bantuan tambahan kepada pusat ECCE agar pelepasan yuran boleh diberikan kepada ibu bapa sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP,” katanya.