Sedih dan pilu bila Pas berkrisis

Sedih dan pilu bila Pas berkrisis

Memang sedih dan pilu menyaksikan parti Islam yang saya dokong sejak zaman sekolah rendah lagi digugat konflik dan krisis dalaman yang parah.

Cuma saya rasa agak lega kerana terhindar daripada dilema menjadi ketua pengarang Harakah susulan saya bercuti sakit, dan kemudiannya dipindahkan ke posisi lain, iaitu unit latihan kewartawanan.

Tidak dapat bayangkan, bagaimana harus saya membuat pilihan tepat untuk mengisi halaman akhbar apabila berlaku percanggahan pendapat sesama pimpinan, yang mendedahkan kelemahan ketara parti.

Berselisih pandangan merupakan kelaziman, tetapi menjadi isu besar kepada Pas adalah kegagalan pemimpin tertinggi, khususnya presiden, untuk menangani konflik dalaman secara hikmah dan bijaksana.

Presiden tidak bertindak sebagai pendamai atau pemersatu, sebaliknya menjadi penyumbang terbesar kepada masalah itu sendiri.

Walaupun hampir dua pertiga pimpinan Pas Pusat dilihat mempunyai idea berbeza, namun presiden seperti tidak mengendahkan kelompok majoriti ini.

Sebaliknya Majlis Syura Ulama digunakan untuk membatalkan keputusan eksekutif parti yang dikira tidak selari dengan pendirian presiden.

Pas tidak dapat menyembunyikan krisis yang tambah rumit. Ia bukan lagi ribut dalam cawan. Air sudah tumpah dan cawan pecah berderai.

Kumpulan yang berbeza idea itu dilabelkan sebagai antiulama, mahu membawa parti ke dalam neraka, barua kepada musuh, lebih setia terhadap rakan sekutu, Anwarinas dan pelbagai gelaran lagi.

Kami di Harakah pula dipanggil jebon, dan dianggap lebih mengagungkan pemimpin PKR dan DAP daripada jemaah sendiri. Harakah turut dicop bukan lagi akhbar Pas kerana membuka ruang berlebihan untuk tokoh-tokoh Pakatan Rakyat.

Mungkin saya dilihat umpama ketua platun tentera yang engkar atau sering mempertikai arahan panglima di medan tempur. Memang dalam operasi perang fizikal, tiada tempat untuk mempersoalkan perintah ketua walaupun kita tidak nampak rasionalnya.

Namun berdepan perang untuk saling mempengaruhi minda dan hati pembaca, kita perlukan gerak kerja yang halus, sistematik, bijaksana, disokong fakta dan persembahan menarik. Mungkin cara insan media sedikit berlainan dengan gaya orang politik walaupun objektifnya tetap sama, iaitu menarik simpati dan sokongan.

Medium penulisan tidak boleh bersandarkan semangat, sentimen dan emosi; ia harus dimantapkan dengan pengukuhan idea dan logika. Semua pihak yang bertentangan menawarkan alternatif, yang terbuka kepada perdebatan dan perbahasan.

Era langit terbuka

Kini, dalam era langit terbuka, tiada mana-mana pihak yang memonopoli saluran maklumat. Sekarang informasi pun boleh “dicipta”.

Ada pihak mengingatkan saya bahawa Harakah adalah akhbar parti dan berperanan khusus untuk memperkenal dan mempromosi Pas, serta menjaga kepentingan dan imej jemaah.

Ia hanya diterbitkan dua kali seminggu – dan dalam tempoh yang panjang, dari awal tahun 2000 hingga hujung 2008, kekerapannya hanya dua kali sebulan – dan dibelit banyak keterbatasan.

Jadi, kata mereka, Harakah beroperasilah sebagai organ parti, usah berlagak untuk menjadi akhbar alternatif, atau untuk semua parti pembangkang. Akhbar oposisi yang lain pun tidak memberi ruang kepada Pas, sepertimana Harakah yang cuba menaungi semua kolompok yang mahu menjatuhkan Umno-BN.

Apakah Harakah harus membataskan fungsinya sebagai lidah rasmi parti atau bertindak sebagai akhbar alternatif telah menimbulkan konflik dan polemik berpanjangan.

Kami pernah nenganjurkan satu diskusi khas di sebuah hotel bagi membincangkannya. Kebanyakan wakil Pas memilih jalan sempit, iaitu demi maslahat parti yang lebih utama tetapi saya amat memahami mengapa mereka berfikiran begitu.

Saya melihat Harakah berbeda dengan Suara Keadilan ataupun Roket. Perjalanannya yang panjang, terutama selepas mendapat sambutan amat menggalakkan sesulan Anwar dipecat dan diaibkan pada hujung 1998, meletakkan Harakah sebagai akhbar alternatif yang ditunggu peminat setiap Khamis dan Ahad.

Selain isu panas dan sensasi ketika itu, lonjakan tersebut didorong oleh cengkaman keterlaluan oleh peraturan regresif dan undang-undang drakonian mengenai kebebasan dan pemilikan permit. Akhbar atau majalah lain tidak dibenarkan oleh KDN untuk menyiarkan laporan yang mengkritik kerajaan.

Contoh paling ketara, dua majalah kendalian saya, Detik dan Wasilah diharamkan. Akhbar Eksklusif turut menerima nasib sama, iaitu sekitar tahun 2000, sejurus selepas keputusan PRU 1999, yang menyaksikan sokongan pengundi Melayu kepada Barisan Alternatif.

Daripada dicetak dalam lingkungan 60,000 naskhah meningkat kepada lebih 350,000 kerana faktor Anwar. Tentunya banyak manfaat yang dapat diraih Pas apabila akhbarnya begitu laris di pasaran. Ia membuatkan masyarakat lebih mengenali dan memahami sosok parti Islam ini dan memudahkan berkembang lagi pengaruhnya.

Selain itu, kewangan parti turut dijana bagi membiayai program yang dirancang. Satu dana khas dilancarkan melalui akhbar yang mendapat sambutan hangat, Tabung Kemiskinan Harakah. Jutaan ringgit dikumpulkan dan mampu menyumbang bantuan kepada golongan memerlukan.

Bagi kumpulan yang mahu Harakah menjadi lidah rasmi semata-mata, pemaparan foto dan berita Anwar di muka depan boleh sahaja menjadi isu sensitif.

Kadang-kadang gambar Ustaz Hadi yang kecil atau diletak pada posisi yang tidak dominan mengundang rasa tidak puas hati. Walhal kami mengambil pertimbangan kewartawanan tanpa mengabaikan keperluan untuk mengutamakan mesej parti.

Harakah bukannya terbit sebulan sekali: ia sampai kepada pembaca setiap tiga hari sekali. Maknanya, agak kerap juga. Jadi, dapatlah kita gilirkan isu atau gambar yang wajar diberikan prioriti. Kami di Harakah juga sedar, tugas yang utama adalah mempromosi dan “menjual” parti, tetapi ada kalanya dengan cara kewartawanan yang sedikit berbeda.

Secara peribadi, jika diberi pilihan, saya lebih selesa menguruskan akhbar atau penerbitan saya. Dan saya sudah memohon permit majalah Kini seawal tahun 1989 tetapi ditolak mentah-mentah oleh KDN.

Kebetulan permohonan itu saya ajukan seminggu selepas saya ditahan ISA, maka mudahlah pihak Menteri Dalam Negeri menolaknya, dan membariskan nama saya dalam senarai hitam.

Prof Datuk Dr Redzuan Othman melancarkan buku Lorong Sunyi Media Bebas, buku yang ditulis khas untuk Ahmad Lutfi.

Saya kemudiannya menumpukan usaha menulis dan menerbitkan sendiri makalah dan buku politik, yang tidak memerlukan lesen dan keizinan KDN. Urusan pengedaran dan pemasaran juga dilakukan sendiri. Namun, tiada pencetak yang berani mengambil risiko mencetak buku dan makalah politik saya, kecuali seorang usahawan kecil Cina, Leong Beng Chai, di Plaza Pekeliling, Kuala Kumpur.

KDN mensyaratkan setiap bahan bercetak dipaparkan nama dan alamat penuh pencetak, dan mereka juga terdedah kepada tindakan undang-undang, sama seperti penerbit. Leong diperkenalkan oleh kekanda sulung saya, Dinsman yang berpejabat di tingkat atas , lokasi sama.

Antara bahan yang dicetak Leong adalah Selepas 3 Tahun Memali, Demokrasi Zaman Mahathir, Kes Pemecatan Tun Salleh Abas, Anwar Lawan Ghafar, Krisis Mahathir-Anwar, Selepas Mahathir Peluang Pas, Siapa Dalang?, dan banyak lagi. Berurus-niaga dengan Leong cukup selesa, dengan terma yang tidak menyusahkan. Ada duit, bayar, kalau tidak ada, jual dulu.

Beberapa kali pihak penguatkuasa menyerbu kilangnya dan memberi amaran, tetapi dia tetap berdegil. Sesungguhnya Leong cukup banyak membantu dan memudahkan langkah awal saya bertapak dalam dunia penerbitan buku. Dan kini, lama saya tidak berhubung dengan Leong. Moga dia sukses dan sihat.

Berdepan dengan pelbagai karenah penyokong, ahli dan pemimpin Pas, membantu saya memahami kompleksiti tingkah-laku dalam sebuah organisasi. Ia menuntut kebijaksanaan dan kesabaran.

Walaupun semuanya mendakwa sayang kepada parti, dengan gaya dan cara tersendiri, tetapi bukan sedikit gelagat yang boleh merencatkan objektif dan matlamat organisasi jika tidak dipandu oleh kepemimpinan yang bervisi jelas dan berpandangan jauh.

Niat yang ikhlas sahaja tidak memadai, apatah jika dimanipulasi pihak musuh. Seringkali sikap ekstremisme boleh menjurumuskan. Kadang-kadang mereka menggunakan dalil Al-Quran dan Hadis di luar konteks, untuk memenangkan hujah peribadi.

Saya pernah menyaksikan satu perbahasan isu dalam Muktamar Pemuda Pas, seorang wakil mengemukakan hujah Al-Quran untuk menyokong argumennya membantah usul asal tetapi tidak mampu disanggah balik pembawa usul kerana dia bukan seorang ustaz.

Sedangkan usul itu hanya berkaitan strategi atau pendekatan politik yang boleh diulas oleh sesiapa sahaja. Tetapi ia seperti diikat dan dikunci oleh nas Al-Quran dan menghalang penggunaan akal untuk merongkainya.

Bukan sekali rujukan nas atau kisah sejarah yang dikemukakan adalah di luar konteks. Misalnya, jika mahu mengadakan sebarang perjanjian atau kerjasama politik dengan pihak luar, acap kita membandingkan perjanjian Nabi dengan golongan kafir.

Saya tertanya-tanya juga, apakah sesuai rakan-rakan sekutu sesama pembangkang mahu disamakan dengan Quraisy Makkah, hatta merujuk Umno seumpama kuffar di zaman Nabi pun nampak janggal. Situasinya jauh berbeda.

Tidak adakah rujukan yang hampir sama dan senario yang ada bibit-bibit keserasian dengan suasana yang kita hadapi? Atau kita sendiri, dengan kepakaran ilmu dan pengalaman bermuamalah dengan situasi setempat berusaha membentuk fiqh Malaysia?

Ukhuwwah yang dirobek

Ukhuwwah yang terjalin indah selama ini rupanya mudah dirobek. Hanya disebabkan perbedaan kecil – tetapi disangka menyangkut isu dasar dan prinsip, malah dianggap bab aqidah – sikap hormat-menghormati, rai-meraikan, saling bertasamuh dan bertoleransi ditolak ke tepi.

Suara berbeda dipandang umpama kecaman yang membinasakan. Teguran dianggap mahu menghancurkan. Ulama seolah-olah lembaga suci yang maksum.

“Masakan ulama nak bawa kita ke neraka, mereka arif tentang soal dosa pahala dan lebih faham ilmu dan kehendak agama,” itu antara kaliamah yang mengunci-mati ruang untuk bertukar fikiran.

Saya kerap tertanya-tanya, apakah kita sudah hilang skil komunikasi sehingga perasaan marah dan bebal payah dibendung lagi. Kita sukar berkepala dingin dan berfikiran terbuka untuk duduk berunding mencari jalan keluar.

Serentak sama panggilan jahat dan menyakitkan hati dihamburkan sesuka hati. Mana akhlak Islami dan budaya sopan Melayu; mana tutur kata yang beradab dan ramah? Sahabat karib sejak berdekad lamanya bertukar menjadi seteru ketat: salam tidak lagi disambut, wajah manis kini dipalingkan penuh mencuka. Sedangkan kedua-duanya adalah parti Islam.

Jika kita boleh teruskan hubungan persahabatan selepas rakan sesama Pas, menyertai Keadilan misalnya, ataupun memilih bersama DAP, hatta menyeberang kepada Umno sekalipun, mengapa kawan boleh bertukar lawan apabila seorang daripadanya bertukar wadah kepada Amanah?

Bukankah Pas mempunyai banyak persamaan dan keserasian dengan Amanah, berbanding parti-parti lain? Sekurang-kurangnya dari segi dasar, landasan dan matlamat perjuangan, semuanya bertekad untuk berpaksikan Islam. Berbeda wadah bukan berlainan aqidah. Ia merupakan persoalan ijtihad, demi merumuskan kaedah atau jalan terbaik untuk menyalurkan khidmat bakti buat umat dan negara.

Seorang rakan memberitahu, “kami semasa aktif dalam Pas dulu pernah membayangkan, bagaimana kalau … walaupun kita dalam satu jamaah tetapi mempunyai dua parti yang berbeda, tapi saling menghormati.”

Saya tidak terkilan, malah dapat memahami, jika penyokong atau ahli bawahan Pas dan Amanah sukar menerima realiti kewujudan dua parti Islam. Setiap parti, terutama yang berasaskan ideologi, selalunya mempunyai pengikut tegar atau fanatik; mereka dijalin dengan semangat berkobar atau keyakinan yang teguh.

Dalam kamus hidup, tiada kompromi kepada anasir yang dilihat cuba menggugat kepercayaan mereka. Aksi serang menyerang, kecam mengecam, apatah lagi di zaman media sosial ini, menyerlahkan lagi perbalahan tajam.

Namun, saya yakin, jika kepemimpinan kedua-dua belah pihak bersikap demokratik, menghargai perbedaan, maka boleh sahaja terus bersaing, saling hujah menghujah. Situasi sukar dikawal jika pimpinan utama mudah berang, mengungkit hal sensitif, gagal mengawal bicara dengan wajah bengis, tidak boleh bersemuka di meja rundingan. Sehingga kita payah membedakan siapa sebenarnya ketua, siapa pengikut.

Cuma, yang lebih menyukarkan ialah pendirian politik berbeda terhadap regim atau elit penguasa. Pas dilihat bersikap lunak atau dikira mempunyai persepsi positif termasuk kepada Perdana Menteri, Najib Razak yang terkenal sebagai kleptokrat no 1 dunia. Tentulah pemimpin Pas menafikan tanggapan itu.

Memang tidak ada persefahaman atau kerjasama politik secara formal, di antara Pas-Umno, tetapi orang ramai merasakan hubungan kedua-dua parti sudah tidak seperti dahulu. Pas seperti memperlahankan kritikan dan penentangannya, walaupun di kala banyak peluru boleh dihamburkan. Serangannya seolah-okah sengaja dilembutkan.

Jika ada dua pilihan, ia lebih suka memilih opsyen yang tidak begitu mencederakan Umno. Malah ia gemar mencari sengketa sesama pembangkang, dan cuba mencari keserasian dengan Umno.

DAP yang dianggap Umno musuh, maka itulah juga menjadi seteru utama Pas. MCA dan Gerakan, sekutu Umno dalam BN: itulah juga yang diakui Pas sebagai mempunyai sikap lebih lembut terhadap Islam. Maknanya, identiti sebagai pembangkang sudah terhakis pada tubuh Pas.

Parti Islam itu seperti cuba mempamerkan wajah baru – parti yang tidak bersama Pakatan Harapan dan tidak juga mendukung BN – tetapi sukar difahami rakyat. Tidak pelik, jika Pas dianggap parti opurtunis yang mahu memperdagangkan undi rakyat apabila berulang kali ia mengisytiharkan dengan bangganya sebagai king maker.

Berbeda keadaannya pada huung 2001apabila DAP keluar Barisan Alternatif. Sama ada Pas, DAP, PRM mahupun Keadilan, tiada parti yang dilihat atau disyaki bermain mata dengan Umno. Sifat-sifat kepembangkangan tidak luntur, justeru pertandingan satu lawan satu masih boleh dipertahankan walaupun tidak berada dalam satu front lagi.

Situasi sekarang berbeda, Pas secara terbuka memperagakan sosoknya yang tidak mungkin berpakat lagi dengan PH, sekali gus mendakwa kolisi baru itu anti-Islam, diketuai penyangak dan seumpamanya.

Pas penentu kuasa

Hairan juga saya, Pas bercita-cita tinggi menjadi penentu kuasa, tetapi ia awal-awal telah menutup pintu untuk rundingan. Satu kesilapan Pas dalam langkah diplomatiknya adalah mengunci-mati ruang untuk bereksperimen dan memaksa pihak lain mengikutnya, hanya kerana ia parti Islam.

Sengaja dipilih jalan mati atas alasan berpegang kepada prinsip yang tidak boleh dikompromi sedangkan ia berdepan dengan persoalan strategi dan teknik, yang menuntut kebijaksanaan untuk mencapai maslahah terbaik.

Mana-mana pemimpin besar tentu mempunyai misi tersendiri, yang ada kalanya tidak dipersetujui sepenuhnya oleh rakan-rakan pimpinan, termasuk peringkat pertengahan dan akar umbi. Pemimpin yang berwawasan jauh, sabar dan berhemah akan cuba menjelaskan, sambil mendengar pandangan berbeda ahli-ahli, serta mengolah rumus yang boleh diterima parti.

Semasa Ustaz Fadzil mahu mengadakan kerjasama politik dengan Tengku Razaleigh Hamzah pada 1989, tidak sedikit dalam Pas yang membantah, namun berkat kesediaan presiden Pas itu menjelajah pelosok negara, berdialog dengan ahli parti, termasuk secara santai, dia mendapat mandat untuk mencipta sejarah.

Begitu juga dengan muafakat bersama Anwar Ibrahim. Laluannya tidak mudah, walaupun secara perubadi Ustaz Fadzil rapat dengan Anwar. Keberanian Ustaz Fadzil bereksperimen, tanpa persetujuan awal pimpinan Pas lainnya, tidak menghalang pembentukan Gerak, yang akhirnya menatijahkan Pas memperolehi 27 kerusi Parlimen.

Jadi, apa bedanya Ustaz Hadi dengan Ustaz Fadzil, berdepan kemelut dalaman ini? Mungkin Ustaz Fadzil mahu meneroka perubahan dan bergerak dalam gelanggang yang lebih luas, manakala Ustaz Hadi dilihat mundur ke belakang, dan paling penting, dia tidak berani mengemukakan gagasan kepercayaannya secara terus-terang.

Tiada diolog terbuka tentang kerajaan perpaduan atau wacana politik Melayu-Islam berdasarkan kehendaknya, yang memungkinkan Ustaz Hadi menawarkan pencerahan kepada khalayak yang keliru. Ketika wakil Pas memaklumkan secara rasmi setiap rundingan dalam Pakatan Rakyat, pihak yang berbisik dalam gelap bersama Umno terus berahsia.

Bagi saya, eksperimen politik dengan sekutu dalam Pakatan Rakyat ataupun untuk bersama Umno, boleh sahaja diusahakan, asalkan dibuat secara telus dan terbuka, serta mendapat mandat majoriti ahli melalui kaedah yang sah.

Pemimpin utama juga harus cerdik, pintar, bijaksana dan boleh membaca perancangan licik musuh serta mengstur strategi setapak ke depan Elakkan diri daripada terpedaya dengan umpan seteru atau terpesona dengan gimik murahan. Bukan seperti mendengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan.

Kita sedia maklum, muafakat pembangkang, terutama mempertemukan parti-parti dua kutub berbeda (Pas, DAP) bukan senang dan Umno bertungkus-lumus berikhtiar memisahkannya. Pemerintah sedia menghanguskan jutaan ringgit menjayakan plot itu.
Justeru, mengapa mudah sangat terpikat dengan perangkap, walaupun dihiasi gemerlap Islam, misalnya dalam isu RUU355. Rela membuang aset sedia ada, sedangkan barang yang dihasratkan bagai wap air di padang pasir. Lalu, untuk menutup malu, terkeluar daleh, “biar kita ditipu, asalkan jangan kita yang menipu”.

Amanah boleh dikatakan beruntung kerana dapat menterjemahkan pengalaman baik-buruk Pas untuk memandu parti, di samping melakukan penambahbaikan. Tinjauan rambang menunjukkan imej dan citra Amanah belum begitu dikenali.

Keadilan sewaktu awal penubuhan, begitu juga Bersatu, lebih mudah diperkenalkan, sekurang-kurangnya sebagai parti reformasi dan parti Mahathir. Mungkin agak ramai melihat Amanah sebagai “parti Mat Sabu” , berbanding parti Islam yang progresif dan inklusif.

Umum juga keliru apa bedanya Pas dan Amanah. Pas sinonim dengan jenama parti Islam, sementara Amanah memerlukan usaha dan gerak kerja yang luar biasa untuk membina identiti. Label negatif seperti khadam DAP yang dipalit oleh Ustaz Hadi juga tidak boleh diremehkan.

Amanah memang membawa gagasan yang murni, serta cuba merintis pembaharuan, tetapi dari segi realiti politik, kumpulan idealis kerap kecundang, apatah lagi jika pendekatannya dianggap asing dan mencarik adat.

Walaupun berbekalkan tokoh-tokoh dan aktivis berpengalaman dan tahan uji daripada Pas, namun Amanah harus meluaskan lagi spektrum kepemimpinan dan pendukungnya, terutama dari kalangan kelompok beragama yang belum berparti.

Pemantapan jati diri sebagai parti Islam yang progresif dan peduli perlu diperkukuhkan. Di dalam perlembagaan parti, sudah tercatat kemas dan tersimpul rapi, dalam Fasal 3, ditambah peruntukan dalam Fasal 16 bahawa presiden dan timbalan presiden harus mempunyai kefahaman yang mendalam dan komitmen yang jitu terhadap Islam.

Majlis Perundingan Pakar (MPP) pula menyuntik keyakinan bahawa parti Islam ini akan dikelola secara Islami. Bagaimanapun, semua itu harus diperagakan sebaik dan sejujurnya sehingga dapat dirasai oleh rakyat keberadaannya sebagai pendamping, pembimbing dan penyelesai kemelut masyarakat.

Saya agak kurang jelas tentang pengaruh Amanah dalam sektor anak muda. Nampak seperti kurang menonjol, termasuk di kampus-kampus. Proses perkaderan Pas di universiti mungkin boleh diambil iktibar. Mendekati golongan belia memerlukan aktiviti yang rencam dan santai, tanpa melupakan keperluan kehidupan mereka yang mencabar.
Personaliti menarik dan karismatik wajar ditampilkan. Peluang mengasah bakat jangan ditutup sehingga memaksa orang muda berbaris panjang menunggu giliran. Dalam keadaan tertentu, pemimpin mesti berani mendedahkan pelapis baru dan dipertanggungjawabkan dengan tugas strategik.

Masa depan Amanah sering dikaitkan dengan keputusan PRU14. Jika PH menang tentu tidak banyak spekulasi negatif, bagaimana pula jika kemenangan tertangguh? Mampukah Amanah meredah kesuraman dan kesugulan itu, di kala ia belum bertapak kukuh? Saya tidak mahu meramalkan, tetapi percaya Amanah adalah parti Islam masa depan.

Ya, mungkin ia menempuh jalan sukar dan berliku, tetapi parti progresif ini tidak mudah ditumpaskan dengan keputusan PRU14 yang tidak memihaknya. Apa pun, saya lebih mengharapkan untuk melihat sumbangan besar Amanah dalam kerajaan baharu nanti, untuk membina semula tanahair kita yang hampir punah. Ia bagaikan kembara panjang yang baru bermula.

Gandingan aset dan sumber berkualiti dalam Pakatan Harapan, termasuk Amanah, adalah potensi terbaik, untuk membawa Malaysia ke era lebih sejahtera, adil, berkat dan dipayungi Rahmat Ilahi.

Saya tutup buku ini dengan memetik pandangan Dr Yusof Qaradawi dalam bukunya, Min Fiqh Ad-Daulah Fil Islam:

Adalah harus menubuhkan pelbagai parti Islam dalam sesebuah negara islam, yang setiap satunya memiliki ciri-ciri pemikiran, metodologi dan pendekatan politik yang berbeza-beza. Setiap parti islam mestilah disokong dengan hujjah-hujjah dan riwayat-riwayat yang sahih dalam tindakan mereka.

Oleh itu sesiapa sahaja boleh menyokong mana-mana parti islam yang telah ditubuhkan mengikut keyakinan mereka masing-masing. Sesiapa pun boleh menolak jika didapati ada parti lain yang lebih baik.​​

Pelbagai parti dalam bidang politik adalah sama seperti pelbagainya mazhab dalam bidang fekah. Perbezaan pelbagai mazhab tidak boleh dielak disebabkan setiap madrasah pemikirannya memiliki dasar-dasarnya yang khusus di dalam memahami syariat dan mempunyai perbezaan cara mengeluarkan hukum daripada dalil-dalilnya yang komprehensif.

Oleh kerana parti politik Islam juga mengambil hukum dan nas daripada pelbagai mazhab yang berbeza aliran pemikirannya ini, maka cara, pendekatan dan metodologi politiknya juga tidak sama. Maka wajar berlakunya kepelbagaian parti politik.

———
Tulisan ini dipetik dari buku “PARTI AMANAH NEGARA”. Ahmad Lutfi Othman menghasilkan catatan penutup buku ini dalam keadaan uzur, di atas pembaringan. Impiannya hanya satu, mahu menawarkan bahan bacaan yang lebih adil dan menyeluruh tentang parti Islam, Amanah.

8.3
OVERALL SCORE
6 user votes x 9.7