Sedih kita tidak lagi duduk bersebelahan tapi itulah pengorbanan, kata Raja Bahrin

Sedih kita tidak lagi duduk bersebelahan tapi itulah pengorbanan, kata Raja Bahrin

Bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad mencoretkan rasa sedih beliau kerana tidak lagi akan bersama dua sahabatnya di parlimen seperti kebiasaan sebelum ini.

“Untuk sahabat-sahabatku yang dikasihi, Liew Chin Tong dan Rafizi Ramli.

“Salam hormat sahabatku. Sedih bila mengetahui apabila kita bertiga yang pernah duduk bersebelahan di Parlimen tidak lagi akan kembali bersama selepas PRU14 ni di Parlimen,” tulis Pengerusi Pakatan (PH) Terengganu itu dalam catatannya semalam.

Namun kata Raja Bahrin, ketiga-tiga mereka perlu membuat pergorbanan demi melihat PH menang.

Katanya, Chin Tong berdepan dengan Menteri ‘heavyweight’ MCA dalam perang yang sengit mereka.

Dan beliau pula katanya, perlu berada ‘dalam kandang singa’ Pas di Terengganu untuk digomoli singa-singa Pas di situ.

“Kita berdua terpaksa membuat pergorbanan ini demi prinsip kita. Kita tetap berdiri teguh dan melawan tanpa mengendahkan betapa sukarnya pertarungan yang akan kita tempuhi.

“Rafizi pula telah membuat pengorbanan lebih awal dan telah menanggung risiko besar dengan keputusan mahkamah sebelum PRU14 dan akibatnya beliau tidak boleh bertanding.

“Tiga “Musketeers” – Sekawan ini tidak berjaya kali ini. “Satu untuk Semua, Semua untuk Satu!” kata beliau.

Katanya lagi, mereka bertiga, dari DAP, PKR dan Amanah gugur. Mereka pernah duduk bersebelahan antara satu sama lain di Parlimen dan telah ditakdirkan tidak berjaya untuk kembali lagi bersama untuk kali ini di Parlimen.

“Hidup dan perjuangan perlu diteruskan wahai sahabat dan jiranku di Parlimen. Kita redha takdir Ilahi.

“Namun, kita amat gembira membantu demi memastikan PH berjaya menubuhkan kerajaan untuk rakyat dan negara yang kita cintai,” katanya.