Malaysia Dateline

‘Sedihnya, kerajaan cuma beri 60 komputer riba di Parlimen Segambut’

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh hari ini mendedahkan jumlah komputer riba yang diterima pelajar sekolah di kawasan Parlimennya.

Beliau melalui ciapannya di Twitter, meluahkan rasa sedih dan terkejut dengan jumlah yang dinyatakan oleh Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

Melalui gambar yang dikongsi, hanya dua buah sekolah sahaja yang menerima bantuan komputer riba seperti yang dijanjikan kerajaan, namun hanya berjumlah 60 buah komputer.

“Baru saja terima jawapan ini daripada @RadziJidin. Sedihnya membaca.

“Daripada jumlah 150,000 peranti digital (laptop) oleh Kementerian Pendidikan untuk pelajar B40, hanya 60 peranti diberikan kepada penduduk #Segambut! 0.0004 peratus,” ciapnya.

Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail 1 menerima 33 buah komputer riba, manakala Sekolah Menengah Agama menerima 27 buah.

Pada masa sama Yeoh berkata, mereka yang mendakwa Segambut tiada keluarga berpendapatan rendah (B40) adalah tidak benar kerana sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, lebih 3,000 keluarga memerlukan bantuan bakul makanan.