Malaysia Dateline

Segala sumber kerajaan akan digunakan semasa darurat, kata KSN

Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat bersetuju untuk menggunakan seluruh sumber dan fasiliti kerajaan bagi memastikan pengurusan darurat dapat dilaksanakan dengan baik.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, penggunaan aset kerajaan yang kurang optimum seperti kenderaan Jabatan akan dikongsi untuk menyokong kelancaran operasi perkhidmatan kritikal agar lebih bersepadu dan selaras.

Katanya, penjajaran sementara akan dilakukan membabitkan kakitangan awam ke kawasan yang memerlukan perkhidmatan tambahan terutama bagi perkhidmatan sokongan kesihatan dan keselamatan.

“Kerajaan akan melakukan integrasi keupayaan perkhidmatan hospital sektor awam dan swasta dalam tempoh darurat bagi memastikan jaminan akses kesihatan yang menyeluruh dapat dilaksanakan bagi pesakit Covid-19 serta bukan Covid-19.

“Integrasi itu juga bertujuan mengoptimakan sumber kesihatan dan kepakaran yang ada untuk tujuan perawatan pesakit sewaktu pandemik Covid-19,” katanya dalam satu siaran media hari ini.

Sementara itu beliau berkata, mekanisme pembiayaan pesakit Covid-19 oleh pihak insurans di hospital swasta sedang diperhalusi oleh Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan, Bank Negara Malaysia dan industri insurans.

Namun katanya, buat masa ini peranan sektor swasta akan diperkasakan bagi merawat pesakit Covid-19 yang mampu membiaya sendiri kos perubatan dan rawatan

Selain itu, Sidang Darurat Majlis Keselamatan Negara juga bersetuju untuk menggunakan Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN), Kem Bina Negara dan fasiliti lain yang bersesuaian untuk dijadikan sebagai fasiliti tahanan sementara serta Depoh Tahanan Sementara bagi kegunaan Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara sewaan.

Ini menurutnya, bagi menjamin penjarakan fizikal banduan dan tahanan di penjara, depoh tahanan serta lokap.
“Banduan dan tahanan yang akan ditempatkan di kem-kem tersebut adalah banduan dan tahanan dengan kesalahan ringan sahaja,” ujarnya.

Mesyuarat juga bersetuju bahawa Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) akan bertindak untuk mengumpul sebarang pandangan atau maklum balas rakyat bagi memberi gambaran sebenar kepada kerajaan mengenai situasi darurat semasa.

“KKMM juga akan bertindak secara strategik dengan mewujudkan saluran khas untuk memastikan segala maklumat berkaitan dengan pelaksanaan pengurusan darurat disampaikan kepada rakyat secara holistik dan
tepat,” katanya lagi.