Malaysia Dateline

Segala tindakan kerajaan PN ketika darurat terbatal

Pengumuman Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Undang-undang) bahawa kesemua 6 Ordinan Darurat telah dibatalkan oleh kerajaan PN pada 21 Julai 2021 lalu adalah mengejutkan kerana dibuat dengan sembunyi dan tidak digazetkan di dalam Warta Kerajaan.

Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan mewajibkan undang-undang darurat dibentangkan dan diluluskan di Parlimen, tetapi ini tidak dilakukan oleh kerajaan.

Ini jelas menunjukkan kerajaan takut untuk membentangkan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 dan undang-undang lain yang dipinda atau diluluskan ketika darurat sebelum ini dilaksanakan.

Tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) ini adalah kerana mereka bimbang Ordinan Darurat ini akan ditolak dan ini secara tidak langsung menunjukkan Tan Sri Muhyiddin Yassin tiada sokongan atau keyakinan majoriti Ahli Parlimen sebagai PM.

Jelas lagi tersuluh, legitimasi dan keabsahan Mahiaddin sebagai PM kini telah luntur. Mahiaddin seharusnya menjadi anak jantan untuk meletak jawatan.

Jangan dijadikan alasan tiada calon lain yang mempunyai sokongan majoriti untuk mengelak meletak jawatan kerana ia perkara kedua, sedangkan perkara pokok atau fundamental di dalam Perlembagaan adalah PM hendaklah meletak jawatan apabila hilang keyakinan majoriti Ahli-ahli Parlimen. Jangan dicabar seseorang itu mandul selagi belum berkahwin.

Kesan kritikal daripada pembatalan ini adalah segala tindakan yang dilakukan kerajaan PN ketika darurat kini menjadi batal dan tiada kesan.

Ini termasuklah sesiapa yang dikompaun melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melebihi amaun RM1,000 juga terbatal.

Kompaun yang melebihi jumlah RM1,000 sehingga RM10,000 dibuat berdasarkan pindaan Akta 342 ketika darurat dan dengan pembatalan ini, maka kompaun seumpama itu adalah terbatal.

Selain itu, mana-mana individu yang didakwa atas kesalahan berita tidak benar (fake news) juga terbatal dan seharusnya pertuduhan ditarik balik dan satu perintah DNAA diberikan dan mereka dilepaskan oleh mahkamah.

Implikasi pembatalan senyap ini cukup besar dan oleh itu, kerajaan PN hendaklah menunjukkan bukti keputusan kerajaan PN membatalkan enam Ordinan Darurat tersebut.

Rakyat perlu tahu hak mereka sebagai warganegara yang dilindungi di bawah Perkara 5 (1) dan 8(1) Perlembagaan Persekutuan.

*FAIZ FADZIL merupakan Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional merangkap ADUN Permatang Pasir, Pulau Pinang.