Malaysia Dateline

Segambut, Kepong tiada dalam senarai saringan percuma Covid-19

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh mempersoalkan mengapa kawasan diwakilinya tidak tersenarai dalam jadual program saringan percuma Covid-19 antara 5 Jun hingga 5 Julai ini.

“Mana saringan percuma Covid-19 untuk Segambut?

“Adalah sesuatu yang memeranjatkan apabila Parlimen Segambut tidak langsung tersenarai dalam Program Saringan Covid-19 percuma yang dianjurkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan.

“Kepong pun tiada,” katanya dalam ciapan Twitter pagi ini.

Program saringan percuma Covid-19 selama sebulan mulai semalam itu meliputi Parlimen Bandar Tun Razak yang diwakili Bersatu dan empat kawasan Parlimen di bawah PKR iaitu Lembah Pantai, Batu, Setiawangsa dan Wangsa Maju.

Program sama yang bertempat di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) itu juga diadakan di dua Parlimen dikuasai DAP iaitu Cheras dan Bukit Bintang antara 13 hingga 22 Jun ini.

Untuk rekod, terdapat 11 kawasan Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.