Malaysia Dateline

Segelintir pegawai terlalu hormat pemimpin, sanggup buat perkara salah

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sememangnya diberi kebebasan bertindak tanpa campur tangan ahli politik.

Namun katanya, sudah menjadi budaya bagi seseorang pegawai itu terlalu hormatkan pemimpin atasan sehingga sanggup melakukan perbuatan yang salah.

“Tabiat orang kita ini, dia terlalu hormat kepada pemimpin. Benda yang tak patut dia ikut, dia ikut juga. Itu yang jadi masalah.

“Saya dapati bukan sahaja polis, pegawai-pegawai lain pun apabila disuruh buat sesuatu yang salah, tetapi kerana ianya datang dari pembesar, mereka lakukan.

“Ini satu kelemahan yang ada. Dan apabila ini berlaku, maka orang politk mengambil peluang, guna kedudukan dia untuk menguasai golongan Eksekutif,” katanya dalam sesi menjawab soalan rakyat di Facebook Dialektika TV semalam

Ahli Parlimen Langkawi itu mengulas demikian susulan dakwaan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador bahawa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin telah mencampuri urusan polis dengan cuba mempengaruhi pertukaran pegawai dalam pasukan berkenaan.

Mahathir berkata, perbuatan menurut kehendak pemimpin sepatutnya tidak berlaku namun budaya yang sudah diterap itu menjadikan ianya satu masalah.

“Kita kena terima hakikat bahawa orang politik tidak sepatutnya menggunakan pegawai itu terutama untuk membuat sesuatu yang salah,” ujarnya.

Terdahulu, Hamid mendakwa bahawa Hamzah menyalahgunakan kedudukannya untuk campurtangan dalam urusan polis hingga menjejaskan keharmonian dalam PDRM.

Hamid juga membayangkan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang dipengerusikan Hamzah dicemari “unsur politik”.

Hamid menegaskan tujuan membuat pendedahan itu bukan kerana kecewa khidmatnya tidak dilanjutkan, tetapi mahu menjelaskan bahawa menteri tidak boleh sebarangan mencampuri urusan polis.