Malaysia Dateline

Segera buka sidang Dun bincang belanjawan tambah vaksin di Johor

Kerajaan Johor hari ini didesak untuk menyuarakan pandangan mereka bagi membuka sidang Dewan Unadangan Negeri (Dun) Johor bagi membincangkan belanjawan tambahan khusus untuk pembelian vaksin bagi negeri ini.

Mengulas perkara itu, Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Sr Dzulkefly Ahmad menjelaskan perkara ini sangat penting kerana ia membabitkan keadaan yang kritikal di negeri ini.

Ujarnya, langkah yang agresif perlu diambil oleh kerajaan dalam mendapatkan vaksin tambahan untuk diberikan kepada rakyat di negeri itu.

“Kebiasaannya, persidangan Dun pada bulan Mei dan Jun adalah masa untuk membentangkan belanjawan atau peruntukan tambahan khususnya bagi perbelanjaan yang tidak dimasukkan dalam pembentangan Belanjawan Johor 2021 pada November 2020 yang lalu atau perbelanjaan yang telah dimasukkan dalam Belanjawan Johor 2021 tetapi memerlukan peruntukan tambahan.

“Namun apa yang berlaku hari ini apabila kuasa legislatif digantung akibat dari Proklamasi Darurat,ia membantutkan hasrat tersebut. Tetapi kerajaan negeri boleh mengambil insiatif sendiri dengan memanggil wakil-wakil rakyat berbincang serta memberikan idea dalam hal ini.

“Apa yang penting adalah pembelian vaksin tambahan untuk rakyat di negeri ini yang bukan mengharapkan inisiatif dari kerajaan pusat melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sahaja,” ujarnya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut hal itu, Dzulkefly yang merupakan Adun Kota Iskandar memaklumkan bahawa kerajaan Johor tidak boleh memberikan alasan dengan masalah kewangan.

Ujarnya lagi, kerajaan Johor boleh menggunakan Rizab Tunai negeri Johor sebanyak RM 3.068 billion dan Tabung Amanah Warisan Negeri Johor (TAWNJ), sebanyak RM 680.37 juta untuk pembelian vaksin berkenaan.

“Tabung dan rizab ini boleh digunakan untuk kemudahan membeli vaksin tambahan khusus untuk rakyat di negeri ini.

“Ianya penting dan mencukupi untuk kerajaan menyediakan peruntukan bagi membela rakyat dengan pembelian vaksin tambahan tersebut.

“Ia adalah proses untuk mempercepatkan rakyat di negeri ini menerima vaksin serta mengurangkan kadar kes harian baharu yang berlaku di negeri ini. Apa yang berlaku dalam proses vaksininasi hari ini, ia tidak mencapai sasaran yang sepatutnya,” katanya lagi.