Segera gubal Akta Majlis Tahfiz Negara, kata PU Hafiz

Segera gubal Akta Majlis Tahfiz Negara, kata PU Hafiz

Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran (Pitas) Negeri Selangor menggesa kerajaan segera melaksanakan penggubalan Akta Majlis Tahfiz Negara.

Pengerusi Pitas Selangor Ustaz Muhammad Hafiz Mohd Haneefa atau lebih dikenali sebagai PU Hafiz berkata, gerak kerja ke arah untuk merangka penubuhan Majlis Tahfiz Negara telah dilakukan lebih tiga tahun lalu, namun sehingga kini belum kelihatan usaha itu mendapat perhatian sewajarnya oleh kerajaan semasa.

“Kerajaan yang lama telah berusaha untuk menubuhkan DPTN (Dasar Pendidikan Tahfiz Negara) dan kerajaan hari ini juga telah menyatakan hasrat untuk menyambungnya tetapi kita belum nampak gerak kerjanya ke arah itu.

“Kita belum dipanggil bersama untuk meneruskaan usaha ini. DPTN hanya payung sahaja tetapi Majlis Tahfiz Negara ia perlu ada akta seperti mana Majlis Halal Negara yang diwujudkan sebagai platform untuk memayungi semua agensi negeri berkaitan hub halal.Kita tengok halal Malaysia kini berjaya menjadi contoh dan ikon di peringkat antarabangsa.

“Kita mahu Majlis Tahfiz Negara disegerakan pengubalan aktanya, apabila ia melibatkan akta tidak kira siapa yang memerintah perlu memberi kerjasama ke arah pelaksanaannya kerana institusi pendidikan tahfiz ini memberi impak kepada pembangunan pendidikan di negara kita,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Baca: Gubal DPTN

Statistik Kementerian Pendidikan Malaysia menunjukkan terdapat 1,347 buah maahad tahfiz swasta seluruh negara.

Pitas adalah salah satu persatuan yang menjadi antara ahli jawatankuasa dalam pengubalan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara di bawah Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran (Pinta).

Di bawah Pitas Selangor sahaja terdapat 400 maahad tahfiz yang mana 306 didaftarkan di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

PU Hafiz berkata sebelum ini sudah banyak perbincangan dilakukan antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan/Majlis Agama Islam dan institusi pendidikan dengan pemimpin persatuan-persatuan tahfiz di negara ini untuk melestarikan institusi pendidikan tahfiz negara, tetapi hasrat merealisasikan DPTN dan Majlis Tahfiz negara belum terlaksana.

“Kita sudah hadiri bengkel bertahun-tahun. Kita mengharapkan dalam Parlimen Majlis Tahiz Negara dapat dibahaskan.

“Harapan kami dan saya mewakili kawan-kawan ( persatuan-persatuan tahfiz) agar Bajet 2019 juga dapat menyebut mengenai ‘tahfiz’ dalam ucapan bajet, sebagaimana tahun-tahun sebelumnya.

“Ini kerana ia melibatkan tentang keberkatan dan kerahmatan pada sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan,” ujarnya.