Segera digubal kekang ekstrimis dan golongan persenda agama, kata AMANAH

Oleh MALAYSIADATELINE

Othman Don

Cadangan penggubalan Akta Kebencian Agama dan Kaum kerana  kewujudan akta ini merupakan satu keperluan pada waktu ini tanpa harus dilengahkan, kata Ketua Pemuda Amanah Kawasan Kulim-Bandar Baru Othman Don.

“Cadangan akta itu boleh mengekang sikap ekstrim dan melampau sesetengah golongan yang sering mempersendakan agama dan kaum sehingga memberi impak yang amat buruk kepada kehidupan masyarakat majmuk.

“Dengan penggubalan undang-undang ini diyakini dapat membantu kerajaan untuk memastikan rakyat dapat hidup dalam harmoni tanpa provokasi mana-mana pihak.

“Selagi kita menjunjung serta mendaulatkan Perlembagaan Negara dan menerima pakai sistem pilihan raya yang ada bagi mendapatkan kuasa, maka sudah sepatutnya wujud peraturan tersebut.

“Ianya bukan saja bagi menyekat fahaman kebencian sesama agama tetapi juga antara pelbagai kaum dan etnik yang terdapat dalam negara ini.

“Sekiranya tiada peruntukan undang-undang sedemikian bagi menyekat penularan amalan melampau ini, ia boleh mencetuskan huru-hara dan kecamukan yang amat merbahaya, ” ujarnya.

Beliau mengulas mengenai cadangan yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa di Parlimen baru-baru ini untuk mengubal Akta Kebencian Agama dan Kaum bagi menyekat budaya mencaci dan memaki agama yang dianuti rakyat berbulang kaum di negara ini.

Othman  yang pernah menganggotai Pas selama 30 tahun juga berkata, agama boleh disebarkan, tetapi menggunakan agama bagi memecahbelahkan perpaduan kaum dan masyarakat mestilah dielakkan.

“Agama adalah perpaduan dan bukannya perpecahan maupun persengketaan yang menimbulkan kecelaruan.

“Penggubalan undang-undang ini adalah tepat pada masanya dibawah pemerintahan kerajaan sedia ada setelah ianya tidak berjaya dikuatkuasakan semasa zaman pemerintahan sebelum ini.

“Rentetan itu kerajaan harus serius dan segera memastikan kewujudan undang-undang ini mampu mengekalkan kesepaduan masyarakat dan rakyat dalam negara ini tanpa provokasi yang merbahaya dari mana-mana pihak, ” tegasnya.