Malaysia Dateline

Segera heret mereka yang terlibat dalam penyelewengan Projek LCS

Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) memandang serius sekiranya wujud salah laku anggota pegawai yang terlibat dalam penyelewengan projek pembelian kapal tempur persisir pantai (LCS) bernilai RM9 bilion.

Sebelum ini, sebanyak RM6 bilion dilaporkan telah dibayar untuk harga kos pembinaan tetapi tiada satu pun kapal yang telah dibuat. Setakat ini juga, RM1 bilion dilaporkan lesap tanpa sebarang rekod.

Presiden Patriot, Datuk Mohamed Arshad Raji berkata, terdapat gesaan untuk menyiasat sama ada benar RM1 bilion dari projek LCS sudah diterima pihak Boustead Heavy Industries Corp Bhd (BHIC) atau anak syarikatnya, Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) yang merupakan kontraktor projek tersebut.

Beliau berkata, sekiranya benar adanya penyelewengan selepas projek dibayar, maka pegawai atau pengarah BHIC yang terlibat mesti didakwa atas kesalahan pecah amanah dan penipuan.

“Sekiranya BHIC atau BNS tidak menerima RM1 bilion, maka mereka yang berada di Mindef (Kementerian Pertahanan) dan Putrajaya harus dipertanggungjawabkan.

“Pelakunya perlu dihukum dengan tegas dan mengikut undang-undang, tidak kira seberapa tinggi kedudukan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, pembelian kapal tempur LCS bernilai RM9 bilion yang diluluskan pada 2014 kepada syarikat BNS, sehingga kini masih tidak muncul.

Sebanyak enam buah kapal tempur seharusnya tiba pada tahun 2019, tetapi sehingga kini tiada satu pun kapal diterima.

Susulan itu, syarikat induknya, Bousted telah melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu pembelian kapal tempur berkenaan.

Pada masa sama menurut Arshad, sementara proses siasatan sedang berjalan, projek LCS mesti diteruskan kerana kepentingannya untuk keselamatan negara dan juga keperluan ekonomi.

“Sebagai negara maritim, kita perlu mempertahankan perairan ini. Perselisihan baru-baru ini antara kapal peronda kami dan pengawal pantai China adalah contohnya. LCS harus menjadi tambahan berguna untuk tentera laut kita,” katanya lagi.