Malaysia Dateline

Segera mansuhkan AUKU, desak PKPIM

Jawapan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad yang masih belum bercadang untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dalam masa terdekat, diselar sebagai langkah yang ketinggalan di belakang.

Ini kerana menurut Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), usaha-usaha mengembalikan autonomi mahasiswa dan Universiti sudah pun dimulakan hampir di semua universiti awam di Malaysia.

Justeru, Presidennya, Ahmad Farhan Rosli menggesa agar kerajaan segera meneruskan langkah memansuhkan akta AUKU berkenaan.

“PKPIM juga meminta pihak KPT memberikan penjelasan terkini berhubung status Jawatankuasa Teknikal AUKU dan Majlis Penasihat Kesatuan Pelajar yang ditubuhkan bagi mereformasikan pengajian tinggi pada zaman pemerintah kerajaan pimpinan PH.

“PKPIM menzahirkan komitmen untuk terus memperjuangkan isu berkaitan AUKU serta bersedia membantu pihak KPT dalam soal reformasi institusi pengajian tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.