Malaysia Dateline

Segera tambah pegawai, kakitangan Parlimen tahun depan urus 10 JKPK, kata Pengerusi PAC

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Noraini Ahmad berkata, Parlimen perlu menambah pegawai dan kakitangannya selaras dengan penubuhan 10 Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Parlimen.

Beliau berkata, satu keperluan pengurusan tertinggi Parlimen  untuk melihat semula struktur organisasi pegawai serta kakitangan Parlimen.

“Saya difahamkan usaha untuk menambah pegawai dan kakitangan Parlimen masih belum berjaya direalisasikan dengan kadar optimum selaras dengan penubuhan 10 JKPK kini.

“Ini memandangkan beban tugas mereka semakin banyak melalui penubuhan 10 JKPK serta jumlah persidangan yang bertambah pada tahun depan berbanding tahun ini.

“Ketika kita berbangga dengan reformasi Parlimen, kerajaan dan pengurusan tertinggi Parlimen tidak boleh sama sekali melupakan mengenai warga kerja Palimen yang sebenarnya, menjadi tulang belakang serta denyut nadi institusi ini,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Yang Dipertua Dewan Rakyat bersama Media di Dewan Banquet, Parlimen malam tadi.

Sebelum ini Parlimen telah mengumumkan penubuhan 6 JKPK dan pada 5 Disember lepas, Yang Dipertua Dewan Rakyat telah mengemukakan Penyata Khas Jawatankuasa Pemilih Dewak Rakyat Yang Ke-14 dalam Majlis Dewan untuk membuat ketetapan melantik Pengerusi  dan Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas.

Empat lagi JKPK yang baharu ialah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen; Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia dan Hal Ehwal Perlembagaan; Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan dan Perdagangan Antarabangsa dan; Jawatankuasa Pilihan Khas Sains, Inovasi dan Alam Sekitar.

Majlis yang diadakan ini adalah kesinambungan acara meraikan sambutan 60 tahun penubuhan Parlimen Malaysia yang disambut pada 5 Disember lepas.

Turut hadir Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof, dua Timbalannya Datuk Mohd Rashid Hasnon, Nga Kor Ming dan bagi  mewakili 10  Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas ialah  Wong Chen, Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Rosmee Hamzah, Ahli JKPK dan pengamal media pelbagai agensi.

(dari kiri) Wong Chen, Nga Kor Ming, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof, Datuk Mohd Rashid Hasnon, Datuk Noraini Ahmad dan Datuk Roosme Hamzah.

Noraini yang dilantik sebagai Pengerusi PAC pada 11 April 2019 lalu, turut meletakkan harapan tinggi kepada kepimpinan  Mohamad Ariff untuk melaksanakan reformasi Parlimen di bawah kerajaan baharu Pakatan Harapan.

“Kita semua perlu mengakui bahawa Parlimen Malaysia kini mengalami perubahan yang amat positif dengan penubuhan 10 JKPK yang mempunyai peranan serta fungsi yang cukup mencabar dan berbeza.

“Malah PAC juga mengalami perubahan apabila meletakkan Ahli Parlimen dari pembangkang sebagai Pengerusinya. Ini selaras dengan amalan oleh kebanyakan negara Komenwel termasuk United Kingdom.

“Walaupun saya ahli parlimen pembangkang kedua yang menerajui PAC dalam tempoh tidak sampai setahun, namun apa yang membanggakan kerana saya adalah Ahli Parlimen Wanita pertama yang dipilih untuk menerajui PAC Parlimen Malaysia,” ujar Noraini, Ahli Parlimen Parit Sulong yang mengantikan Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Keandee.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Wanita Umno itu berkata, PAC tahun ini  berjaya membentangkan 9 laporannya dan 2 daripadanya adalah inisiatif JKPK yang membabitkan kepentingan awam, iaitu Laporan PAC mengenai Kerugian Pelaburan Khazanah Nasional Berhad dan Penganguna Air Mobility.

Selain itu PAC juga telah membentangkan laporan berhubung Tuntutan Tertunggaak Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion pada Julai lepas.

Manakala baki 6 lagi laporan PAC adalah daripada prosiding membabitkan isu yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).

“Daripada 9 laporan dibentangkan itu PAC telah mengadakan 29 mesyuarat prosiding dengan memanggil saksi masing-masing dan 12 mesyuarat penyediaan laporan PAC dan mesyuarat verifikasi laporan PAC serta 3 kali mesyuarat maklum balas kementerian.

“Bagi mengukuhkan lagi peranan serta fungsi PAC saya perkenalkan 2 lagi mesyuarat sebagai tambahan kepada mesyuarat sedia ada iaitu mesyuarat verifikasi dan mesyuarat maklumbalas kementerian.

“Pengenalan kepada 2 mesyuarat ini bagi memastikan semua laporan PAC benar-benar telus, berkredibiliti serta berakauntabiliti dengan berlandaskan kuasa serta prosedur ditetapkan kepada PAC.

“Ini termasuklah menambah 2 lagi wakil tetap (ex Officio PAC) iaitu daripada Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Ini menjadikan jumlah wakil tetap PAC kepada 7 orang,” katanya.

Sebelum itu 5 wakil tetap dalam PAC adalah daripada Kementerian Kewangan, Jabatan Audit Negara, Jabatan Akauntan Negara Malaysia dan Unit Perancang Ekonomi.

Kata Noraini lagi, memandangkan PAC adalah Jawatankuasa Pilihan paling aktif, ia mempunyai prosedur operasi standard (SOP) sendiri sebagaimana di dalam Peruntukan Mesyuarat (PM77) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Jelasnya lagi, Jawatankuasa ini akan menjadi model serta rujukan kepada JKPK yang ditubuhkan di bawah PM81 yang mempunyai SOP JKPK masing-masing.