Penganalisis politik, Prof Dr Mohammad Agus Yusoff mengingatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) agar menyegerakan bantuan kepada rakyat yang terjejas ekoran lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurutnya, langkah tersebut perlu dilakukan bagi mengelakkan rakyat tidak terlalu tertekan sehingga mengambil keputusan di luar kewarasan.
“Kita tahu kadar orang yang membunuh diri sekarang? Apa lagi faktornya jika tidak kerana tekanan perasaan dan kewangan,” katanya.
Untuk rekod, kes bunuh diri dilaporkan meningkat sejak pandemik Covid-19 melanda negara bahkan rakaman video berkaitan aksi terjun bunuh diri dari bangunan tular di media sosial mutakhir ini.
Dalam masa sama, Agus berkata paling penting kerajaan perlu memastikan rakyat tidak kelaparan.
“Jaga perut rakyat. Ini paling penting. Rakyat tidak ke jalanan jika sekadar marah dan kecewa dengan kerajaan. Tetapi sekali perut mereka lapar, inilah yang mendorong kebangkitan mereka,” ujarnya.
Beliau yang juga pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, kejayaan reformasi Indonesia pada1998 adalah kerana rakyat kelaparan.
“Di Tunisia, anak muda bernama Mohammed Bouazizi membakar diri pada pertengahan Disember 2010 kerana perniagaan sayurnya diganggu pihak berkuasa.
“Kesulitan hidup inilah juga yang merupakan faktor merebaknya kebangkitan Arab sehingga ke Mesir dan Libya,” katanya.
Sehubungan itu, Agus berharap kerajaan menjaga yang sedang “menangis” sekarang.