Malaysia Dateline

Segerakan keputusan penjualan Malaysia Airlines, selamatkan industri penerbangan

Kerajaan digesa untuk segera membuat keputusan berhubung tawaran beberapa pihak swasta yang ingin membeli pemilikan Malaysia Airlines bagi menyelamatkan industri penerbangan yang dimiliki Khazanah Nasional itu.

Adun Permatang Pasir, Faiz Fadzil berkata, bantuan kewangan untuk Malaysia Airlines akan lebih membebankan kerajaan pada ketika kedudukan fiskal negara terus terjejas akibat kutipan cukai yang rendah dan suntikan sebanyak RM35 bilion ke dalam Pakej Rangsangan Ekonomi.

Katanya, penjualan pemilikan Malaysia Airlines ke tangan swasta adalah langkah terbaik ketika ini untuk jangka masa panjang.

“Tidak ada salahnya jika pemilikan Malaysia Airlines dijual terus ke tangan syarikat swasta yang berminat dan berpotensi mengemudi syarikat penerbangan ini.

“Namun, cadangan untuk menggabungkan Malaysia Airlines dengan AirAsia X adalah tidak sesuai kerana ia boleh mengurangkan persaingan tempatan, selain Khazanah Nasional perlu menanggung kos sebanyak RM8 bilion untuk proses penggabungan tersebut. Ini sudah pasti akan menambah beban kerajaan.

“Apa yang penting, kerajaan perlu terus memegang ‘golden share’ dalam Malaysia Airlines dan ini harus menjadi syarat penting dalam penjualan syarikat tersebut ke tangan swasta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Difahamkan, kerajaan telah menyuntik lebih RM24 bilion ke dalam Malaysia Airlines dalam tempoh 2001 hingga 2019.

Faiz yang juga Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional berkata, sudah beberapa kali dijanjikan bahawa syarikat penerbangan tersebut akan kembali mencatatkan keuntungan, namun tidak pernah dicapai.

Malah katanya, kerugian selepas cukai Malaysia Airlines bagi tahun kewangan 2017 sahaja mencecah RM812.1 juta.

Justeru, Faiz menegaskan, ‘golden share’ adalah penting untuk memastikan kerajaan masih mempunyai kata putus dalam beberapa aspek pengurusan Malaysia Airlines, walaupun tiada pegangan ekuiti.

Menurutnya, keputusan penjualan itu kelak perlu menjaga identiti Malaysia Airlines sebagai ‘flag carrier’ negara dan juga kebajikan pekerja syarikat yang majoritinya rakyat Malaysia.

“Baru-baru ini, 13,000 kakitangan Malaysia Airlines telah diminta untuk bercuti tanpa gaji. Mereka tidak sepatutnya terbeban sekali lagi sekiranya berlaku penjualan syarikat ini.

“Di samping itu, kebajikan kakitangan Malaysia Airlines ini harus diberi perhatian serius oleh kerajaan melalui insentif bermanfaat kepada mereka,” tambah Faiz lagi.