Malaysia Dateline

Segerakan moratorium bukan pupuk budaya pinjaman ‘ah long berlesen’

Wanita KEADILAN mengecam kerajaan Mahiaddin Yassin yang gagal ini bukan sahaja tidak dapat memberi pakej bantuan kepada M40 tetapi memupuk budaya pinjaman “Ah ong Berlesen” di bawah inisiatif Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin.

Ketuanya, Fuziah Salleh berkata, tindakan tersebut akan memberikan impak sosial yang bertambah parah kelak dan bakal menjadi punca keluarga berpecah-belah.

Untuk rekod, kerajaan pada 23 Jun lalu bersetuju membenarkan sektor Kredit Komuniti (KK) atau Pemberi Pinjam Wang (PPW) yang berdaftar bawah KPKT untuk beroperasi berkuat kuasa serta-merta.

Persetujuan yang dicapai susulan Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 18 Jun itu menjadikan KK sebagai sektor yang ke-13 disenaraikan sebagai perkhidmatan perlu bawah Kluster Kerajaan Tempatan dalam sistem Covid-19 Intelligent Management System (CIMS 3.0).

Mengulas lanjut, Fuziah berkata, kerajaan juga digesa meneliti lapan agenda penetapan semula ekonomi negara pasca Covid-19 yang dicadangkan oleh Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) susulan impak pandemik dengan dikatakan lebih 600,000 isi rumah M40 tergelincir dalam kategori B40.

“Oleh itu, Wanita KEADILAN menggesa agar kerajaan Mahiaddin menyegerakan pelaksanaan moratorium dan menyampaikan bakul makanan secara telus, menyeluruh dan menepati sasaran setelah mengambil kira data terkini EAC.

“Jangan biar rakyat menderita lama dalam keadaan menunggu-nunggu tanpa hala tuju kerana kegagalan kerajaan,” tegasnya lagi.