Malaysia Dateline

Segerakan penubuhan Jawatankuasa Bebas Kabinet lindungi hak pekerja

Bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Mahfuz Omar menyarankan kerajaan menubuhkan segera Jawatankuasa Bebas Kabinet berhubung masa hadapan pekerja Malaysia dalam menghadapi pasca Covid-19 termasuk menangani isu pengangguran.

Beliau berkata, memandangkan wabak pandemik Covid-19 dijangka memberi impak jangka panjang kepada ekonomi dan sumber tenaga pekerja, kerajaan digesa untuk tidak banyak berpolitik dan terus menumpukan cabaran selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terutama terhadap nasib para pekerja.

Jelasnya, penubuhan Jawatankuasa itu adalah mendesak berikutan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memaklumkan negara kerugian sebanyak RM2.4 bilion sehari semasa tempoh PKP.

“Jawatankuasa khas Kabinet ini perlu bertegas untuk memastikan hanya pekerja asing yang sah sahaja boleh terus bekerja sementara yang tidak sah perlu di hantar pulang.

“Jawatankuasa mengenai pengangguran ini kelak perlu memastikan sebarang pemberhentian pekerja mesti mendahulukan pekerja asing.

“Saya turut menjangkakan bakal adanya kekosongan antara 1.5 hingga 2 juta kerja yang boleh diisi dengan segera oleh pekerja tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Naib Presiden AMANAH Nasional itu juga menegaskan, Pakatan Harapan (PH) semasa pentadbirannya telah pun meluluskan program #[email protected] yang menganggarkan seramai 350,000 orang akan mendapat pekerjaan dalam tempoh lima tahun.

Justeru beliau berpendapat, kerajaan perlu melaksanakan segera program tersebut dan memperuntukkan belanjawan tambahan agar jumlah itu dilipat gandakan menjadi 1 juta dalam tempoh lima tahun.

Katanya, ini boleh dilaksanakan dengan memastikan keutamaan perlu diberikan kepada pekerja tempatan untuk bersedia mengambil alih dari pekerja asing di negara ini.

Jelas Ahli Parlimen Pokok Sena itu, Jawatankuasa mengenai pengangguran itu nanti, perlu memulakan gerakan besar-besaran menggalakkan rakyat Malaysia mengisi kekosongan pekerjaan.

Ini kerana katanya, jika 1.5 atau 2 juta rakyat Malaysia bekerja dengan mendapat insentif tambahan dan pihak majikan juga mendapat pelbagai galakan insentif, kebergantungan kepada pekerja asing akan berkurangan sekali gus mengurangkan aliran wang keluar ke negara asing.

“Sekiranya isu kehilangan pekerjaan dan pendapatan tidak di depani sekarang, saya gusar kesan riak ‘ripple effect’ akan meruntuhkan sistem perbankan dan sektor kewangan negara apabila rakyat tidak dapat membayar ansuran rumah, kenderaan, pinjaman peribadi serta insuran/takaful kerana sudah ketiadaan sumber kewangan

“Saya mencadangkan agar Kabinet segerakan penubuhan Jawatankuasa ini dan melantik wakil Majikan, wakil Kesatuan Pekerja serta pakar ekonomi, sumber manusia dan juga ahli-ahli Yang Berhormat dari kedua-dua pihak untuk menganggotai Jawatankuasa ini,” ujarnya.

Mahfuz turut mengingatkan, apa yang diperlukan ketika ini adalah Jawatankuasa Khas Kabinet yang bertindak, bukannya Jawatankuasa mengkaji, meneliti dan lambat membuat keputusan yang bakal mengakibatkan rakyat terus tidak berpeluang bekerja di tanah air sendiri.