Malaysia Dateline

Segerakan sidang parlimen untuk buktikan keabsahan kerajaan PN

Pemuda AMANAH mendesak satu sidang khas parlimen untuk satu usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri wesjst diadakan dengan segera.

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional Muhamad Taquiddin Cheman berkata, usul berkenaan yang akan diusulkan oleh Ketua Pembangkang dibentangkan dan diundi seminggu dari sekarang.

“Tindakan ini selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(3),” katanya.

Katanya, menurut Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri seharusnnya membuktikan bahawa beliau mempunyai bilangan yang cukup untuk memerintah atau sebaliknya beliau perlu berundur.

“Situasi politk yang tidak stabil ini adalah satu perkara yang tidak baik untuk negara tambahan pula situasi sistem kesihatan yang kian lumpuh ini mendesak kita supaya mempunyai satu sistem pentadbiran dan juga urus tadbir negara yang cekap.

“Kedua-dua perkara ini langsung tidak wujud dalam pemerintahan Perikatan Nasional,” katanya.

Sidang media yang dilakukan oleh Tan Sri Mahiaddin Md Yasin pada hari ini, katanya tidak membuktikan keabsahan kerajaan yang diterajui beliau sekarang.

Bahkan katanya kenyataan beliau hanyalah semata-mata dakwaan tanpa bukti, perkara ini sepatutnya dibuktikan dalam Dewan Rakyat dengan kadar segera.

Semalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sebulat suara menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Umno juga mendakwa mempunyai surat akuan mencukupi daripada Ahli Parlimen parti itu untuk menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri.

Surat akuan itu sudah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Namun, Mahiaddin dalam pengumuman tengah hari tadi menegaskan beliau masih mempunyai majoriti ahli Dewan Rakyat dengan menerima sejumlah surat akuan daripada Ahli Parlimen

Bagaimanapun, satu usul undi percaya terhadap dirinya selaku Perdana Menteri akan dikemukakan pada sidang Parlimen, September ini.