Malaysia Dateline

Segerakan undang-undang anti lompat parti, tidak mahu dewan jadi ‘sangkar beruk’

Ahli Parlimen Pulai Datuk Seri Salahuddin Ayub menggesa sidang parlimen agar segera menggubal undang-undang anti lompat parti paling lewat pada penghujung tahun ini.

Ketika berbahas Titah Yang di-Pertua Agong petang ini, Salahuddin berkata, perbuatan lompat parti dalam kalangan wakil rakyat sehingga menjatuhkan kerajaan yang diberi mandat secara sah oleh rakyat telah memalukan institusi raja dan parlimen.

“Jangan jadikan dewan ini sangkar beruk, ya saya setuju titah Sultan Johor.  Ini lompat satu parti ke pati lain hingga jatuh kerajaan.

“Ya saya lari daripada Pas, tapi tidak jatuhkan kerajaan .

“Ini lari bersubahat dan bersekongkol untuk jatuhkan kerajaan. Kita bukan pelacur politik,” kata beliau.

Timbalan Presiden AMANAH itu juga mahu masa depan institusi diraja serta parlimen dapat dipelihara dengan baik daripada anasir-anasir pengkhianat.

“Kita harus selamatkan negara kita daripada anasir kerajaan tebuk atap,” kata beliau.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said juga mendesak agar rang undang-undang antilompat parti dibentangkan di Dewan Rakyat dengan secepat mungkin.

Katanya, akta itu perlu diwujudkan dengan segera kerana amalan parti bukan saja tidak adil kepada rakyat, tetapi juga terhadap parti politik yang telah berbelanja besar bagi perolehan data dan hal-hal lain ketika PRU.

“Tak semestinya yang lompat tu sebab dia (ahli parlimen) nak lompat, tapi kadang-kadang sebab kena paksa, sebab kena pecat. Macam orang bercerai.. sebab itu dalam Islam bila cerai, ada masa idah lepas gugur talak.

“Jadi berkenaan RUU pemecatan ahli parlimen ini, biarlah referendum dibuat kepada rakyat untuk tentukan wakil rakyat yang lompat itu diganti atau tidak,” katanya ketika berbahas hari ini.